assalamu'alaikum. membina kasih sayang manusia demi kasih sayang Allah.....

Saturday 29 September 2012

Penuhkan Hati Dengan Zikrullah

-->


Bukan setakat bertahmid, bertakbir dan menyebut nama Allah s.w.t sahaja. Malah apa jua cara pun yang boleh menyebabkan kita boleh mengingati Allah, maka itu adalah zikir. Misalnya dengan kita, melihat kepada pokok-pokok, lautan, gunung dan alam keseluruhan yang menyebabkan kita ingat kepada Allah, maka itu dinamakan zikir. Begitu juga apabila kita terdengar orang mendapat sakit, musibah dan bencana, lalu kita insaf dan ingat kepada Allah, maka itu juga dinamakan zikir.
 
Zikir adalah merupakan salah satu tradisi orang soleh. Bagi orang-orang soleh, berzikir merupakan hubungan jiwanya dengan Allah pada setiap waktu waktu sama ada dalam kesusahan atau di dalam aman, waktu berdiri, duduk atau berbaring. Dengan zikir jiwa mereka cergas, sihat dan kuat. Orang yang sedemikian bermakna jiwanya sentiasa hidup. Orang yang tidak dapat mengingati Allah bererti jiwanya telah mati., hatinya keras dan payah sekali untuk menerima kebenaran. Selain daripada itu orang yang berzikir amat payah sekali untuk digoda dan diajak oleh Syaitan dan nafsu untuk melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.
 
Kebanyakan hati manusia dikalahkan oleh Syaitan yang telah berjaya menyerap masuk ke dalam hatinya dengan pengaruh nafsu. Sehingga hati itu memilih keduniaan dan melupakan akhirat. Hal ini tidak dapat dikalahkan melainkan manusia itu kembali kepada zikir Allah (mengingati Allah). Berkata Jabir bin Ubaidah Al Adawi: Saya pernah mengeluh kepada Al A'la bin Ziyad: tentang was-was yang terdapat di dalam dada saya. Maka ia berkata: Bahawa Hati itu umpama sebuah rumah yang dilalui beberapa pencuri. Pencuri-pencuri itu berusaha mencuri apa-apa yang menjadi kegemarannya di dalam rumah tersebut. Tetapi jika di dalam rumah tersebut tidak mempunyai apa-apa, maka pencuri-pencuri itu akan melalui sahaja rumah itu dan akan meninggalkannya. Yakni hati yang bersih daripada syahwat nafsu tidak akan dimasuki Syaitan.
 
Kerana itu Allah berfirman: "Sesungguhnya hamba-hambaKu itu tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) ke atas mereka." (Bani Israil: 65)"
 
Bahawasanya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka diganggu oleh Syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah (berzikir), maka jika begitu mereka akan melihat." (Al A'raf: 201)
Untuk mengalahkan Syaitan hati perlu diisi dengan zikrullah dan iman. Dosa samada kecil atau besar adalah perosak dan peruntuh iman. Orang yang benar-benar mahu memelihara dan meningkatkan iman, janganlah melakukan dosa. Kalau terbuat cepat-cepatlah istigfar dan bertaubat kepada Allah.
 
Jika tidak Syaitan akan menjalankan tipudayanya. Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w pernah berkata : "Sesungguhnya Syaitan itu telah menaruh belalainya pada hati manusia. Maka apabila manusia itu ingat kepada Allah (zikrullah), mundurlah Syaitan dan apabila ia lupa kepada Allah, maka Syaitan itu menelan hatinya."
Untuk mengisi masa lapang (tidak membuang masa), maka penuhkan hati dengan ingat kepada Allah iaitu zikrullah. Jikalau tidak masa akan terbuang begitu sahaja dan kita telah mensia-siakan umur kita. Dengan Zikrullah, umur dapat dimenfaatkan dan kita sentiasa berada di dalam lindungan dan rahmatNya.