assalamu'alaikum. membina kasih sayang manusia demi kasih sayang Allah.....

Sunday 17 March 2013

Pemimpin bertakwa, Memimpin Rakyatnya Bertakwa kepada Allah.

Kerajaan negeri sentiasa berusaha gigih dalam mengembalikan ketamadunan ilmu yang pernah berkembang pesat di Kedah suatu ketika dahulu dan  mahu kerajaan yang bakal memerintah meneruskan dasar mengutamakan pendidikan untuk semua rakyat. Menteri Besar Kedah Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata hanya dengan tamdun ilmu dan pendidikan yang berterusan akan memastikan negeri berada dalam keadaan yang stabil dan rakyatnya hidup dalam suasana sejahtera.

Beliau berkata seiring tujuan itu, Kedah mahu melahirkan lebih ramai generasi al-Quran yang bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri tetapi bakal melahirkan pemimpin yang berkaliber yang mengetahui kepentingan dunia dan akhirat.


"Apa yang saya lakukan bukan untuk diri sendiri sebaliknya demi kebaikan untuk rakyat negeri Kedah dan untuk kerajaan akan datang teruskan dasar yang naik ini.


"Bila rakyat berilmu dan mempunyai akhlak yang baik, secara tidak langsung memastikan negeri berada dalam keadaan stabil dari segi sosial, ekonomi," katanya.


Selain Kedah terkenal dalam menyediakan pusat pengajian agama secara pondok, beliau mahu masyarakat Islam datang ke negeri ini kerana mempunyai institusi pengaJian tinggi yang berteraskan Islam seperti Kolej Universiti Insaniah (KUIN).


"Kerana itulah saya cuba merealisasikan dan fokus kepada KUIN dan kemudian Pusat Tahfiz Sains di Pulau Tuba," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Guru-Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Pegawai-pegawai Masjid Seluruh Kedah di Dewan Permaisuri TUanku Haminah di KUIN Kuala Ketil, 5 Mac lalu.


Akibat daripada kesungguhan dan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Ustaz Azizan membina KUIN, timbul iri hati dan pihak yang tidak berpuas hati sehingga menimbulkan pelbagai isu kontroversi membabitkan institusi itu.


"Bukan tiada duit (kewangan KUIN) dan tak bayar, cuma kita tak sempat salur pada waktunya kerana pelbagai komitmen yang perlu diutamakan...dan kita sentiasa berusaha menyelesaikan masalah...cuma perlu bersabar sedikit," katanya.


Hadir sama di majlis itu ialah Exco Dato' Mohamed Taulan Mat Rasul, Mufti Kedah Dato' Syeikh Mohd Baderuddin Ahmad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato' Noh Dahya dan Rektor KUIN Profesor Dato' Dr Jamil Osman.


Selain itu turut serta bersama lebih 4,500 hadirin ialah para exco, ahli parlimen, senator, wakil rakyat dan pimpinan masyarakat.


Ustaz Azizan dalam ucapannya amat menghargai peranan yang dimainkan oleh guru-guru Kafa, imam dan pegawai masjid dalam membimbing dan mentarbiyah masyarakat pada peringkat kanak-kanak dan remaja.


"Pegawai masjid dan imam berperanan dalam mempertahankan institusi masjid bagi menguatkan akidah umat dan mengukuhkan ukhuwah


"Manakala guru Kafa mendidik generasi awal...walaupun nampak kecil tetapi sumbangan mereka semua amat besar," katanya.


Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya, kata Ustaz Azizan adalah mengikuti acuan yang telah dianjurkan oleh Islam termasuk yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.


"Kerajaan saya ikut cara Islam dalam keadaan termampu...yang penting jangan buat perkara dibenci rakyat seperti rasuah, salahguna kuasa dan zalim pada mereka.


"Maka pentingnya pemimpin itu bertakwa untuk memimpin rakyatnya bertakwa kepada Allah.


"Sekiranya rakyat bagi sesebuah negeri beriman dan bertakwa kepada Allah, maka Allah turunkan keberkatan kepada mereka," katanya

~ dipetik dari Warta Kedah.

Tuesday 5 March 2013

ISTIQAMAH DALAM MUJAHADAH




Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya, selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong melakukannya. Mengapa? 


Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Semacam ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Ya, kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu.


Bagaimana kita hendak mengalahkan dua musuh ini demi mengembalikan pimpinan diri kepada diri sendiri? Samalah dengan berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata. Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin.Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu dan syaitan ini dinamakan mujahadah. Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Mengapa dikatakan demikian?


Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.


Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, mereka yang gagah bukanlah mereka yang dapat mengalahkan musuh zahirnya, tetapi adalah mereka yang dapat mengawal kemarahannya.Namun bukan mudah mengawal kemarahan justeru kemarahan adalah sifat buruk yang didalangi syaitan. Syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak menipu daya manusia. Bahkan sangat sedikit manusia yang berjaya mengatasi tipu dayanya. Dalam Al-Quran Allah menjamin orang yang tidak dapat ditipu daya oleh syaitan ialah mereka yang ikhlas.


Begitu juga dengan hawa nafsu, bukan mudah hendak dilawan kehendak dan hasutannya. Ini kerana nafsu itu adalah sebahagian daripada diri kita sendiri. Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu. Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu.


Syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya. Bukankah manusia sebaik Nabi Adam pun boleh ditipu oleh iblis hingga terkeluar dari syurga? Oleh kerana kedua-dua musuh itu tidak pernah berehat dari menyerang kita, maka kita sewajarnya tidak berehat untuk mempertahankan diri. Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut ‘mood’. Ia adalah satu perjuangan yang tidak henti-henti hinggal malaikat maut mencabut nyawa kita. Malah, hingga ke saat nyawa kita hendak bercerai dari jasad pun, syaitan terus berusaha menipu daya kita. Bahkan pada saat itu, tipu dayanya lebih dahsyat kerana itulah peluang terakhir untuk menyesatkan manusia agar mati dalam keadaan tidak beriman. 


Setiap dosa yang kita buat kerana termakan hasutan syaitan adalah umpama titik hitam pada hati. Makin banyak kita berdosa, makin gelaplah hati. Bayangkan kalau kita bermujahadah sekali sekala&ldots;. ia umpama mencuci pakaian yang sangat kotor sekali sekala. Sudahlah jarang di cuci, kotoran yang terpalit makin banyak hari demi hari. Begitulah hati, jika malas ‘dibasuh’ dengan mujahadah, maka akan bertambah kotorlah ia hingga payah hendak dibersihkan lagi.


Oleh itu, satu prinsip asas dalam ber
mujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus menerus dan berkesinambungan dalam ‘peperangan’ dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka mujahadah itu tidak akan memberi kesan.

Istiqamah adalah sifat terpuji sama seperti mujahadah. Malah kedua-duanya merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus. Yakni berdiri teguh di jalan yang lurus, berpegang pada akidah yang tepat dan melaksanakan syariat dengan tekun serta berakhlak baik secara konsisiten.

Firman Allah : " Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau di perintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak nafsu mereka." (As-Syura :15)


Untuk beristiqamah dalam mujahadah, kita perlukan keteguhan keyakinan (iman), penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah, syaitan yang kita hadapi adalah makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk menyesatkan manusia. Hanya senjata mujahadah dan perisai istiqamah mampu berdepan dengan mereka.