assalamu'alaikum. membina kasih sayang manusia demi kasih sayang Allah.....

Tuesday 10 November 2015

Wahai Jiwaku..bertasbihlah kamu..




Wahai jiwaku..
 bertasbihlah kamu,
dan solatlah kamu ketika kamu ditimpa bencana dan musibah,
maka saat itu kamu akan merasakan ketenangan dan damai sekali hati itu,
terlepas dari bencana dan musibah hidup,

Wahai jiwaku..
alirkanlah air matamu, dan curahkanlah ia ketika solatmu,
Allah tuhan seluruh alam pasti mendengar jiwa-jiwa kamu yang sedang menangis kepada-Nya.

Wahai Allah
sebagaimana Jasadku semakin mendekati-Mu hari demi hari,
didiklah dan bimbinglah hatiku agar juga mendekati-Mu hari demi hari.

Yakinlah wahai diri..
tiada sesuatupun yang menimpa seseorang muslim baik berupa kesakitan, keletihan, kebimbangan, kesedihan, sakit hati, gundah gulana, sekalipun sebatang duri yang mencucukmu, melainkan Allah hapuskan sebahagian dosamu disebabkan musibah tersebut.

Wahai Allah..
ampunilah segala dosa kami umat nabi Muhammad SAW..
kami malu pada-Mu..
disebabkan keburukan yang ada pada diri kami..
pimpinlah diri kami dalam menghadapi-Mu..
sesesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha penyayang..
kami rindukan-Mu..
janganlah Engkau tinggalkan kami walau sedetik cuma, kerna kami terlalu lemah tanpa-Mu..

Tiada terungkap dengan kata-kata..biarlah air mata yang berderai menjadi bukti cinta kami pada-Mu..bahkan Engkau maha mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati kecil kami..pimpin kami wahai Allah, ampun kami ya Rahman..sehingga saat kami bertemu-Mu..

sesungguhnya kami terlalu merindui-Mu..



Tuesday 31 December 2013

Wajahmu sungguh Mendamaikan Wahai Ibuku...


Menjadi rutin, ibu call setiap selepas subuh. Tanpa pernah jemu, bibirnya sentiasa menuturkan butir-butir hikmah buat anaknya yang masih bertatih menimba ilmu yang maha luas. Tidak lama, lebih kurang 5 minit..tetapi sungguh padat dan bermakna buat diri yang dhaif ini. Antara pesanan ibu :

 :: belajar sungguh2 ye nak... Pastikan niat sentiasa betul. Biar ia bernilai ibadah di sisi-Nya. Semoga  berjaya dunia & akhirat. Untuk bantu orang. Hidup kita yang sementara ni, biar bermanfaat pd orang lain..biar diri kita menjadi asbab orang lain mendapat hidayah Allah azza wajalla.

:: jadikan istighfar itu rutin harian..lazimi dan hayatinya dgn hati. Kerana, orang yang melaziminya dgn hati akan sentiasa merasakan setiap kesalahan orang lain munkin saham kesalahan itu adalah datang dari dirinya sendiri. Dengan itu, kita pasti memohon ampun pada Ar-Rahman dengan sebenar-benarnya yakni bukan untuk diri sendiri sahaja bahkan untuk semua insan di sekelilingnya. (dan bayangkan jika rintihan taubat itu disusuli dgn deraian air mata..Allahhurabbi..betapa tenangnya hati itu)

:: dan yang terakhir, biasakanlah di tangan kita, sentiasa ada biji tasbih. Agar hati kita sentiasa mengingati-Nya. Kerana orang yang selalu mengingati Allah dalam kehidupan-Nya, hatinya sentiasa tenang. Dan dia sudahpun dapat merasai “kemanisan syurga” di dunia.. iaitu kedamaian hati (Qolbun salim)..


Allahurobbi...syukran kathir ibu...

” wahai Allah, saksikanlah bahawa.. ibu kami semua, telahpun melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaiknya, tinggal diri kami je masih belum mensyukuri anugerah ini. Bahkan terkadang kami terlupa mendoakan mereka di dalam kesibukkan dunia..ampuni kami ya Rabb. Jadikanlah kami anak-anak yang soleh dan solehah buat ibubapa kami, dan jadikanlah kami penyejuk mata buat mereka. Allahhumma amin. “

Monday 28 October 2013

Dakwah yang Menjanjikan Syurga Allah


dakwah yg menjanjikan syurga Allah, adalah pahit jalannya untuk dilalui. hanya berbekalkan taqwa dan sabar kita dapat melaluinya. berapa ramai yang berjuang, tetapi tersungkur di pertengahan. apabila diteliti/dimuhasabah..rupanya, saat dia berjuang/berdakwah itu..dia tidak membawa hatinya bersama. hubungannya jauh dgn Allah. asalnya dia dulu seorang yang warak, namun setelah mendapat taklifan dia tertipu dgnnya. tertipu dgn kemasyurannya, tertipu dgn sanjungan yg diberikannya, tertipu dgn berapa ramai yg menyayanginya..ingatlah!, setiap amanah yg diberikan pd kita samada di mana-mana jabatan atau dalam organisasi boleh menyebabkan  menjadi antara dua golongan ini :

1) kita betol2 hampir dgn Allah,
2) atau jauh dgn Allah 

yang boleh menjadikan seseorang itu betol-betol hampir dgn Allah adalah Takwanya. Dia begitu takut dgn Allah. dia selalu ingat bahawa setiap perbuatannya akan disoal Allah..adakah dia benar-benar amanah dan adil dalam mnjalankan tgjwbnya?. hidupnya banyak menangis di malam hari dan khalifah yg baik terhadap umat di siang hari. justeru itu..dia sentiasa memperbaiki amalannya dan seringkali muhasabah di penghujung hari .

sebaliknya seseorang itu boleh jauh dgn Allah disebabkan amalannya/kerjabuatnya yg bukan semata-mata kerana Allah. kadang2 pada zahirnya, seseorang itu sangat hebat dalam pidatonya, ucapannya, amalanya, penampilannya..tetapi hakikatnya dia sangat jauh dgn Allah..Allahurabbi..ini yg paling kita takuti. jgnlah biarkan populariti kita menyebabkan amalan kita tertolak dgnnya malah dimurkai Allah. semua ini berpunca dari penyakit hati yg gurunya adalah syaitan..iaitu penyakit mazmumah. jgn kita biarkan usaha iblis untuk mengelirukan kita berhasil ..kelak kita akan merana di akhirat nanti. sepertimana iblis tidak pernah putus asa untuk menyesatkan kita, macam itu jugaklah kita tidak seharusnya putus asa mengejar rahmatNya dan Redha-Nya. kita mesti mengetahui tipu dayanya dan berusaha menutup lubang-lubang yang boleh dimasuki syaitan melalui pintu riak, ujub sum'ah sterusnya mempengaruhi hati kita.


perjalanan yg panjang ini ..perlukan hati yg bersih , jauh dari sifat mazmumah. biarlah segala kerja buat kita semata-mata kerana-Nya. namun nak kekalkan keikhlasan itu yg susah..namun Allah menjanjikan kebersamaan-Nya andai kita tidak jemu bertaubat  setelah melakukan kesalahan. janganlah kita tertipu dengan kesolehan ritual, warak di pandangan manusia namun akhlak kita jauh dari  akhlak islami. istighfarlah andai pernah merasakan diri kita lebih baik dari orang lain. bimbang, amalan kita tertolak kerananya. andai kita bnyak amalan..tetapi kita masih cepat marah, mempunyai iri hati dgn insan lain, selalu rasa kita lebih baik dari yg lain..cepat2lah 'check' semula amalan kita..adakah benar2 ikhlas atau dah dicemari dgn sifat riak, ujub, sum'ah. selalulah kita audit diri..agar perjalanan yg panjang ini diberkati Allah dan  Tetaplah istiQomah..semoga beratnya AMANAH yang kita galas ini, menjadi satu titian menuju Syurga Allah. bangun kembali mencari Redho Ilahi. Ikhlaskan hati dalam menerima amanah..
asiff ala kullihal. sollu ala nabi. ~zulaikha yaacob yg dhaif.

Sunday 17 March 2013

Pemimpin bertakwa, Memimpin Rakyatnya Bertakwa kepada Allah.

Kerajaan negeri sentiasa berusaha gigih dalam mengembalikan ketamadunan ilmu yang pernah berkembang pesat di Kedah suatu ketika dahulu dan  mahu kerajaan yang bakal memerintah meneruskan dasar mengutamakan pendidikan untuk semua rakyat. Menteri Besar Kedah Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata hanya dengan tamdun ilmu dan pendidikan yang berterusan akan memastikan negeri berada dalam keadaan yang stabil dan rakyatnya hidup dalam suasana sejahtera.

Beliau berkata seiring tujuan itu, Kedah mahu melahirkan lebih ramai generasi al-Quran yang bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri tetapi bakal melahirkan pemimpin yang berkaliber yang mengetahui kepentingan dunia dan akhirat.


"Apa yang saya lakukan bukan untuk diri sendiri sebaliknya demi kebaikan untuk rakyat negeri Kedah dan untuk kerajaan akan datang teruskan dasar yang naik ini.


"Bila rakyat berilmu dan mempunyai akhlak yang baik, secara tidak langsung memastikan negeri berada dalam keadaan stabil dari segi sosial, ekonomi," katanya.


Selain Kedah terkenal dalam menyediakan pusat pengajian agama secara pondok, beliau mahu masyarakat Islam datang ke negeri ini kerana mempunyai institusi pengaJian tinggi yang berteraskan Islam seperti Kolej Universiti Insaniah (KUIN).


"Kerana itulah saya cuba merealisasikan dan fokus kepada KUIN dan kemudian Pusat Tahfiz Sains di Pulau Tuba," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Guru-Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Pegawai-pegawai Masjid Seluruh Kedah di Dewan Permaisuri TUanku Haminah di KUIN Kuala Ketil, 5 Mac lalu.


Akibat daripada kesungguhan dan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Ustaz Azizan membina KUIN, timbul iri hati dan pihak yang tidak berpuas hati sehingga menimbulkan pelbagai isu kontroversi membabitkan institusi itu.


"Bukan tiada duit (kewangan KUIN) dan tak bayar, cuma kita tak sempat salur pada waktunya kerana pelbagai komitmen yang perlu diutamakan...dan kita sentiasa berusaha menyelesaikan masalah...cuma perlu bersabar sedikit," katanya.


Hadir sama di majlis itu ialah Exco Dato' Mohamed Taulan Mat Rasul, Mufti Kedah Dato' Syeikh Mohd Baderuddin Ahmad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato' Noh Dahya dan Rektor KUIN Profesor Dato' Dr Jamil Osman.


Selain itu turut serta bersama lebih 4,500 hadirin ialah para exco, ahli parlimen, senator, wakil rakyat dan pimpinan masyarakat.


Ustaz Azizan dalam ucapannya amat menghargai peranan yang dimainkan oleh guru-guru Kafa, imam dan pegawai masjid dalam membimbing dan mentarbiyah masyarakat pada peringkat kanak-kanak dan remaja.


"Pegawai masjid dan imam berperanan dalam mempertahankan institusi masjid bagi menguatkan akidah umat dan mengukuhkan ukhuwah


"Manakala guru Kafa mendidik generasi awal...walaupun nampak kecil tetapi sumbangan mereka semua amat besar," katanya.


Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya, kata Ustaz Azizan adalah mengikuti acuan yang telah dianjurkan oleh Islam termasuk yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.


"Kerajaan saya ikut cara Islam dalam keadaan termampu...yang penting jangan buat perkara dibenci rakyat seperti rasuah, salahguna kuasa dan zalim pada mereka.


"Maka pentingnya pemimpin itu bertakwa untuk memimpin rakyatnya bertakwa kepada Allah.


"Sekiranya rakyat bagi sesebuah negeri beriman dan bertakwa kepada Allah, maka Allah turunkan keberkatan kepada mereka," katanya

~ dipetik dari Warta Kedah.

Tuesday 5 March 2013

ISTIQAMAH DALAM MUJAHADAH




Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya, selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong melakukannya. Mengapa? 


Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Semacam ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Ya, kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu.


Bagaimana kita hendak mengalahkan dua musuh ini demi mengembalikan pimpinan diri kepada diri sendiri? Samalah dengan berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata. Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin.Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu dan syaitan ini dinamakan mujahadah. Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Mengapa dikatakan demikian?


Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.


Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, mereka yang gagah bukanlah mereka yang dapat mengalahkan musuh zahirnya, tetapi adalah mereka yang dapat mengawal kemarahannya.Namun bukan mudah mengawal kemarahan justeru kemarahan adalah sifat buruk yang didalangi syaitan. Syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak menipu daya manusia. Bahkan sangat sedikit manusia yang berjaya mengatasi tipu dayanya. Dalam Al-Quran Allah menjamin orang yang tidak dapat ditipu daya oleh syaitan ialah mereka yang ikhlas.


Begitu juga dengan hawa nafsu, bukan mudah hendak dilawan kehendak dan hasutannya. Ini kerana nafsu itu adalah sebahagian daripada diri kita sendiri. Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu. Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu.


Syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya. Bukankah manusia sebaik Nabi Adam pun boleh ditipu oleh iblis hingga terkeluar dari syurga? Oleh kerana kedua-dua musuh itu tidak pernah berehat dari menyerang kita, maka kita sewajarnya tidak berehat untuk mempertahankan diri. Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut ‘mood’. Ia adalah satu perjuangan yang tidak henti-henti hinggal malaikat maut mencabut nyawa kita. Malah, hingga ke saat nyawa kita hendak bercerai dari jasad pun, syaitan terus berusaha menipu daya kita. Bahkan pada saat itu, tipu dayanya lebih dahsyat kerana itulah peluang terakhir untuk menyesatkan manusia agar mati dalam keadaan tidak beriman. 


Setiap dosa yang kita buat kerana termakan hasutan syaitan adalah umpama titik hitam pada hati. Makin banyak kita berdosa, makin gelaplah hati. Bayangkan kalau kita bermujahadah sekali sekala&ldots;. ia umpama mencuci pakaian yang sangat kotor sekali sekala. Sudahlah jarang di cuci, kotoran yang terpalit makin banyak hari demi hari. Begitulah hati, jika malas ‘dibasuh’ dengan mujahadah, maka akan bertambah kotorlah ia hingga payah hendak dibersihkan lagi.


Oleh itu, satu prinsip asas dalam ber
mujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus menerus dan berkesinambungan dalam ‘peperangan’ dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka mujahadah itu tidak akan memberi kesan.

Istiqamah adalah sifat terpuji sama seperti mujahadah. Malah kedua-duanya merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus. Yakni berdiri teguh di jalan yang lurus, berpegang pada akidah yang tepat dan melaksanakan syariat dengan tekun serta berakhlak baik secara konsisiten.

Firman Allah : " Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau di perintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak nafsu mereka." (As-Syura :15)


Untuk beristiqamah dalam mujahadah, kita perlukan keteguhan keyakinan (iman), penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah, syaitan yang kita hadapi adalah makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk menyesatkan manusia. Hanya senjata mujahadah dan perisai istiqamah mampu berdepan dengan mereka. 



Wednesday 23 January 2013

Ya Rasulullah..Rindunya kami Padamu..



Assalamu'alaikum ya Rasulullah..

tiada hari yang paling indah
semerbak harum kasturi mewangi
hari isnin 12 Rabiulawal tahun gajah
seluruh alam bersinar cahaya
lahirnya seorang bayi yang indah amat sempurna
Aminah mendakap penuh kasih sayang
yatim yang suci anak Abdullah.......

ya Rasulullah..rindunya kami padamu..


semua orang mengakui cinta pada baginda, namun ramai di kalangan kita tidak mengadaptasikan  pengakuan itu kepada amalan yg menunjukkan kita benar-benar cinta pada baginda SAW. (ya Allah..diri ini terlalu banyak kelemahan di sisi-Mu..ampunkan aku ya Rabb)


Bagaimana memupuk cinta pada Baginda ??


sahabat2 yang saya hormati dan kasihi..

masih belum terlambat untuk kita menzahirkan cinta kita pada baginda. 
walau hati kita sekeras batu, sukar menangis dengan cerita-cerita keinsafan..
tetapi percayalah..jika kalian betol-betol mengenali baginda nabi Muhammad dan kisah - kisah di saat kehidupannya, pasti hari-hari kalian dihiasi tangisan yang berpanjangan lantaran rindukan baginda..dan sesudah itu, hati terasa tenang sehinggakan terasa rindu untuk mengadap maha Esa. Allahhurabbi..rindunya kami pada maghfirah-Mu. perasaan ini hanya akan hadir pada hati-hati yang bersih. iaitu bersih dari segala sifat ujub, riyak, sum'ah dan mengharapkan penghargaan manusia. sebaliknya, hati-hati yang suci ini merindui keredaan Allah dalam semua amal perbuatan mereka dan menjadikan sunnah Rasul sebagai panduan dirinya sebagai musafir di muka bumi Allah ini. (ya Allah, kurniakan kami hati itu)


BAGINDA SANGAT MENGINGINKAN KEBAIKKAN UNTUK KITA...

baginda banyak menangis kerana kita. banyak menderita kerana kita..demi keselamatan kita di dunia dan akhirat yakni  selamat dengan cahaya Islam.


bayangkan sahabat-sahabat, saat baginda hendak menyampaikan dakwahnya pada penduduk Ta'if..baginda menerima hinaan yang menyakitkan. mereka langsung tidak menyambut ajakan baginda bahkan mencemuh, menghina dan mengusirnya. tidak cukup dengan itu, mereka turut menyeksa nabi, melempar nabi dengan batu-batu di sepanjang jalan yang dilalui baginda. 


lemparan batu-batu tersebut mengenai baginda sehingga habis badan dan kaki baginda berdarah-darah. seorang sahabat bernama Zaid bin Haritsah yang turut bersamanya berusaha melindungi baginda juga terkena lemparan batu sehingga beberapa bahagian di kepalanya terluka. seksaan penduduk Thaif itu baru berhenti saat Rasulullah tiba di perbatasan kota.


apabila sampai di kebun milik Uthbah bin Rabiah baginda beristirehat di bawah sebatang pohon anggur yang rendang sambil membersihkan luka-lukanya. saat itu..Nabi berdoa dengan doa yang sangat mengharukan, "Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan tenagaku, kekurangan akal dan hujahku, serta kelemahan dayaku menghadapi manusia. Ya Allah yang maha penyayang, engkaulah tuhan orang-orang yang lemah dan engkau juga tuhanku. kepada siapakah hendakku serahkan diriku? kepada orang jauh yang memandang rendah kepadaku, atau kepada musuh yang Kau beri kuasa bagi menggagalkan urusan tugasku?..tidak kupedulikan keadaan ku ini, asalkan Engkau tidak murka kepadaku. Namun, bagiku rahmat-Mu amat luas. Cahaya wajah-Mu yang menerangi kegelapan dan menentukan kebaikkan urusan dunia dan akhirat. aku berlindung dari Murka-Mu yang akan menimpa  diriku. aku sentiasa memohon keredaan-Mu, kerana tiada daya dan kekuatan kecuali atas perkenan-Mu".


pada saat itu, malaikat penjaga gunung turun dari langit menemui baginda seraya berkata, " Ya Rasulullah, perbuatan penduduk Thaif benar-benar sudah keterlaluan. Allah memerintahkan aku untuk berkhidmat padamu. izinkan aku menghukum kejahatan mereka. jika engkau berkenan, biarlah aku jatuhkan gunung itu kepada mereka  sehingga mereka semua binasa". tetapi dengan segera Rasulullah menjawab," tidak wahai malaikat, jangan engkau lakukan hukuman seperti itu. aku melihat di kalangan penduduk thaif itu ada sedikit kebaikkan. jika mereka belum mahi beriman kepadaku saat ini, aku berharap anak-anak mereka kelak akan menjadi orang-orang beriman."


Rasulullah kemudian berdoa, " Ya Allah, ampunilah mereka..kerana sesungguhnya mereka itu belum mengetahui."


maka berkata malaikat penjaga gunung, " engkau benar-benar seperti yang disebut Tuhan-Mu."


apa yang dikatakan malaikat penjaga gunung ini merujuk kepada ayat Allah dalam surah At-taubah ayat 128. dalam surah ini dikatakan baginda bersifat belas kasihanterhadap orang beriman.


begitulah saudaraku yang dimuliakan, betapa agungnya akhlak baginda..betapa kasihnya, cintanya baginda pada kita. ini baru sebahagian..terlalu banyak kisah-kisah yang menyayat hati. penderitaan yang ditanggungnya sangat luarbiasa demi keselamatan kita. jadi, alasan apakah kita untuk tidak mencintai nabi Muhammad SAW??..dosa apakah yang membuatkan hati kita terhijab untuk mencintai nabi?? ..layakkah kita bergelar umatnya, sedang kita lalai dengan dunia yang banyak menyajikan keseronokan yang sementara ??


ayuh saudaraku..kita belum terlambat..untuk mencintai nabi bukan hanya untuk orang-orang yang bergelar ustaz-ustazah..namun cinta ini bersifat universal. siapa pun kita, arkitek, engineer, suri rumah bahkan pekebun.. kita layak mencintai nabi.


namun, bila dilihat di luar sana..masih ramai yang belum menjadikan islam cara hidup. hanya islam pada nama, namun cara hidup jauh tersasar. ya Allah..ini semua salahku. aku kurang berdoa untuk mereka.  ampunkan dosaku ya Allah..izinkan aku menghadapmu dengan bekalan yang dapat aku melihat kegembiraan yang terpancar di wajah baginda di saat aku mengadapmu kelak.kau bukakanlah pintu hati mereka untuk menerima hidayah-Mu. aku cinta kekasih-Mu nabi Muhammad. aku tahu, baginda sangat menginginkan keselamatan umatnya. aku ingin menjejakinya..akan aku sematkan keinginan baginda menjadi keinginanku. ya Rahman, kurniakan aku kekuatan, hati yang ikhlas dalam perjalanan ini.. malu rasanya mengatakan cinta kepada baginda kekasih Allah. kerana baginda insan mulia sedangkan diriku insan biasa. ku pujuk jua hati dan jiwa. meluahkan rasa cinta membara. di dalam pujian ucapan selawat, tanda penghargaan seorang umat. ya Allah..diri ini masih banyak dosa di sisi-mu, ampunkan aku. 


::::::>doaku..moga Allah memberi kalian penghayatan dalam menelusuri sirah nabi SAW. demi menyingkap sebuah mutiara di sebaliknya ...lantas ianya menjadi buah akhlak yang sangat harum. sehinggakan kalian dan diriku menjadi agen penyebar risalah nabi. kalian..umat terbaik. manfaatkan segala medium yang ada untuk menjadikan kalian 'ISLAM YANG BERGERAK' di muka bumi Allah. BerGeraK..menyegarkan jiwa-jiwa yang sedang layu kepada jiwa yang mendambakan keredhaan Allah.


~ ya Rasul, rindunya kami(umatmu) tidak terkata..syafaatkan kami.


Saturday 15 December 2012

DUNIA TEMPAT BERPENAT, DI AKHIRAT NANTI KITA BEREHAT



Jangan mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu. 

Manusia akan tersiksa oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti di  Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya! 

Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita.   

Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah, kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi lebih tenang dan harmoni.

Mengapa di dunia ini tidak ada kedailan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman.

Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadaNya.

Lihat bagaimana nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba tidak kena’.
 Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan seua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat).

Justeru, apabila Allah menyuruh manusia melakuan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakanya dengan berkata, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…”
Banyak hikmahnya mengapa Allah dan RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal.

Allah memujuk, Nabi Muhammad dan orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).”

Impak daripada itu, manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’, sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik.
Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.”

Mereka tidak mengutuk orang lain, keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan. Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!”
Oang yang telah menerima hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu? Ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada orang lain.

Dalam surah Al Fatehah, Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata.
Di dunia ini, penjahat atau pelaku kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti, mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran… bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda.

Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela ‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang abadi dan lebih baik di akhirat nanti!”

Sampai ke takah ini, sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat:  Dunia tempat penat, di akhirat tempat berehat!

Ya, hidup selepas mati adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati. Justeru, Rasulullah saw sendiri berdoa: ” Ya Allah, jadikanlah kematian tempat istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan…

~sumber asal : genta-rasa.com