assalamu'alaikum. membina kasih sayang manusia demi kasih sayang Allah.....

Saturday 15 December 2012

DUNIA TEMPAT BERPENAT, DI AKHIRAT NANTI KITA BEREHAT



Jangan mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu. 

Manusia akan tersiksa oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti di  Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya! 

Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita.   

Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah, kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi lebih tenang dan harmoni.

Mengapa di dunia ini tidak ada kedailan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman.

Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadaNya.

Lihat bagaimana nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba tidak kena’.
 Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan seua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat).

Justeru, apabila Allah menyuruh manusia melakuan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakanya dengan berkata, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…”
Banyak hikmahnya mengapa Allah dan RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal.

Allah memujuk, Nabi Muhammad dan orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).”

Impak daripada itu, manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’, sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik.
Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.”

Mereka tidak mengutuk orang lain, keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan. Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!”
Oang yang telah menerima hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu? Ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada orang lain.

Dalam surah Al Fatehah, Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata.
Di dunia ini, penjahat atau pelaku kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti, mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran… bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda.

Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela ‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang abadi dan lebih baik di akhirat nanti!”

Sampai ke takah ini, sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat:  Dunia tempat penat, di akhirat tempat berehat!

Ya, hidup selepas mati adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati. Justeru, Rasulullah saw sendiri berdoa: ” Ya Allah, jadikanlah kematian tempat istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan…

~sumber asal : genta-rasa.com


Friday 30 November 2012

CORETAN KASIH~ INSAN BERNAMA SAHABAT


detik berlalu..makin terasa pantasnya masa meninggalkan diri yg sering alpa. Sudah hampir empat bulan meninggalkan dunia kampus. Sudah terlalu rindu meneguk ilmu di bumi kuin penuh barakah. Alhamdulillah..Allah izinkan aku bertapak lagi di ‘sana’. Hanya beberapa hari lagi diri ini bakal menginjakkan kaki ke medan ilmu. Semakin hari terasa keinginan menyemarak bak api menyemarak pantas saat disimbahkan minyak.

“Ya Allah..biarkanlah hati ini terus hanyut dengan cinta ilmu-Mu. Izinkan hati ini berjihad menggapai Redha-Mu . Ikhlaskan hati ini dalam perjuangan ini, engkau maha baik ya Rabb..tanpa pimpinan-Mu terasa lemah dan tak berdaya diri ini. ”
Entah mengapa, diri ini rasa sayu ..mengenang betapa besar rahmat Allah, walhal diri ini penuh dengan kelemahan. Bulan ini penuh dengan dugaan, mehnah di setiap penjuru. Namun segalanya terasa mudah kerana pertolongan Allah hampir sekali. Terima kasih cintaku. Engkau maha baik.

**************

Sesuatu yang tidak diduga….

Dalam sibuk aku menghadapi saat-saat akhir pengajianku beberapa bulan yang lalu, aku menerima SMS dari insan yang sangat thiqah orangnya, seorang perantara yang aku kagumi akhlaknya. Tentang risikan dari seorang jejaka yang tidak pernah aku kenali. Allah..ia datang saat diri masih tidak bersedia. Walau berat hati memikirkan soal ini..istikharah pengubat hati. Saban hari berlalu, seiring dengan istikharah..hati masih terasa berat, tiada ketenangan saat persoalan ini terlintas di fikiran. Akhirnya kata putus diambil jua. Diri terpaksa menolak risikannya, menyedari belum layak untuk bergelar zaujah dalam tempoh pengajianku..ilmu baru setahun jagung. 

Apa pun, aku tak mahu menolak lelaki itu hingga dia rasa terhina. Aku hanya mampu mengungkap bahawa aku masih tak bersedia. Alhamdulillah hati ini lapang semula. Aku bertekad untuk terus memburu cinta agung. Cinta-Nya sentiasa membawa kebahagiaan kepada hati, perasaan dan kehidupan. Sampai saatnya nanti akan aku temui jua cinta kekasih-Nya. 

Hari ini..diri begitu teruja untuk menyambung pengajianku ke peringkat seterusnya. Mengejar cita-citaku demi membantu Deen-Nya. Syukur ya Rahman kerana memudahkan urusan pengajianku. munkin tempohnya dirasakan lama..namun demi ilmu, empat tahun akan aku manfaatkan sebaik-baiknya hanya kerana Allah semata. (ya Rabb..kurniakan aku ikhlas dan istiqomah).

**************
 Suatu malam yang meresahkan..hati tidak tenteram, bagai ada sesuatu yang tidak kena. “ya Allah, gantikanlah kesedihan ini dengan sesuatu yang lebih baik, dan berilah hati ini redha menerima segala ketentuan-Mu yang mendatang” , hanya itu yang aku mampu ungkapkan saat itu.
“isk..isk..ana sedih, ana tak mampu nak tanggung semua ni lagi.”
“Assalamu’alaikum, uhkti kenapa ni? Enti ada masalah?”..aku hairan sejenak, sahabatku khairunnisa’ jarang sekali Nampak sedih begitu. Kali ni Nampak beliau betul-betul sedih. Tanpa aku sedari air mengalir deras di pipiku tanpa dipinta. Tak tahu kenapa, melihat kesedihannya membuatkan aku turut merasai penderitaan yang ditanggungnya..

Kring!!! Kring!!!.. jam loceng yang setia di penjuru katilku mengejutkan tidurku. Jarum pendek menunjukkan angka 5, manakala jarum panjang menunjukkan angka 12.
 “Astaghfirullahal’azim.. aku bermimpi rupanya, ya Allah..bagaimana keadaan sahabatku sekarang?”. Tanpa berlengah..aku bingkas bangun. air yang dingin menyegarkan badanku..sejadah di gapai, dalam pekat malam aku mengadu padanya dengan cucuran air mata. Terasa begitu syahdu.

“ ya Allah, tiada yang lebih indah dari berzikir padamu, tiada yang lebih bahagia dari bersama dengan-Mu. Dengan kebesaran jiwa-Mu, dengan keindahan wajah-Mu, dengan segala kebaikkan-Mu..aku pohon pada-Mu, ampunilah dosaku, ibubapaku, sahabat-sahabatku, guru-guruku, muslimin dan muslimat seluruhnya. Ya Rahman..saat ini munkin sahabatku khairunnisa’ berada dalam kedukaan..bahagiakanlah hatinya dengan rahmat-Mu..gantikanlah kesedihannya dengan sesuatu yang lebih baik baginya. Ya Rabbi, aku merayu pada-Mu, berilah kesabaran, ketabahan kepadanya dalam menghadapi setiap ujian-Mu. Aku yakin ya Rabb..setiap ujianMu adalah tanda kasih sayang-Mu pada hamba-hambaMu. Berilah kami redha dengan setiap ketentuanMu..amin, ya Rabbal ‘alamin. “

Sahabat..
tiada duka yang abadi di dunia ini.
Tiada sepi merantaimu selamanya.
Malam akan berakhir..hari akan berganti
Takdir hidup akan terus dijalani.
Tetapi aku percaya dan yakini, ada keindahan di akhirnya. Iaitu di Syurga-Nya.

Saat engkau bersedih..ingatlah Allah..kerana zikir adalah jambatan antara hamba dan Tuhannya, ia merupakan jalan menuju kecintaan Allah dan Redha-Nya. Zikir merupakan pintu untuk naik dan membuka. Zikir merupakan tanda-tanda orang-orang yang ingin berjalan menuju Allah dan ia adalah kekuatan hati, makanan hati, cahaya dan penerang penglihatan. Zikir merupakan jalan jalan untuk menyampaikanmu kepada Tuhanmu, iaitu satu jalan memperoleh kewalian dan menjadi orang-orang terpilih.

Akhir kalam, andai engkau membaca coretanku ini..yakinilah sahabat, engkau sentiasa dekat denganku..walau jasad kita terpisah jauh..namun ianya bukanlah asbab yang boleh merenggangkan hubungan ini. Kita satu roh dalam satu jasad. Penderitaanmu, kesakitanku jua.

 Saat dirimu dilanda masalah, percayalah.. munkin Allah mahu kita menjadi mukminah yang lebih berkualiti setelah kita ditarbiah dengan sabar. Bingkisan ini kutulis kerana aku terlalu menghargai dan menyayangimu, duhai sahabat. Semoga lebih ramai mukminah yang akan mengecapi nikmat bahagia apabila setiap dari kita dapat mencontohi peribadi mulia nabi Muhammad SAW. Aku berdoa dapat bersahabat lagi denganmu di taman Firdausi.
~Sollu a’la Nabi Muhammad SAW.
:::  <3 ALLAH  <3 RASUL  :::

Saturday 3 November 2012

cinta seorang sahabat..





"Teman-teman akrab pada hari itu (hari kiamat) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagiaan yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa" 
(43:67)

Hebat seorang sahabat..
Wajahnya bisa menarik hati kepangkuan ilahi
lantas teringat aku pada Rabbi..

Hebat seorang sahabat..
Tuturnya yang damai bisa menggetarkan jiwa-jiwa yang mati bangun kembali
mengejar kembali akhirat untuk hidup tatkala mati..

Hebat seorang sahabat..
Jasadnya bekerja umpama angin ribut salju
senyap,tegap,pantas,kemas
yang menatap turut bangkit dengan ruh dan jasad..

Hebat seorang sahabat..
Cintanya pada Allah lebih dari yang lain
termasuk aku sahabatnya ini..

Hebatnya diriMu Ya Allah..
Ada dikalangan hambaMu sehebat ini..


Kita Akan Dibangkitkan Di Hari Kiamat Bersama Orang Yang Kita Cintai..



Saya tatap lama kertas yang terselit dicelah lembaran Al-Quran itu.
Tahulah saya pasti surat ini dari dia.
Aduhai..cintanya saya pada sahabat yang seorang ini..

Sahabat..
Ketahuilah bahawa setiap bicara kamu pada saya, selayaknya bicara yang sama dari saya untuk kamu juga..



"Wahai Tuhan Yang Maha Baik..
Sahabatku yang satu ini amat aku cintai, kerana Engkau yang memberi anugerah ini
Dia cerminan untuk aku membetulkan diri
Ujian yang datang padanya,adalah teguran tidak langsung seorang hamba dari Penciptanya.."


"Tiap patah bicaranya umpama mendengar Engkau yang berkata-kata kepadaku
Tidak lekang namamu dibibirnya,lantas aku turut sama merasa kehadiranmu dalam setiap helaan nafas.."


"Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar..
Engkau telah mendengar segala sangkaan dan rintihan hati kami
Tautkan hati kami ini, Kau pimpinlah kami mengikut percaturanMu kerana kami akan tetap cuba berbaik sangka.."


"Satu ketika Dia temukan kita, Dia pisahkan kita dan kemudian Dia ketemukan kita semula.
semua itu dengan izinNya
Nanti..kita akan tunggu dan menunggu untuk ditemukan semula
Kalau nanti masa itu tidak tiba, maka akhiratlah masa penungguan seterusnya.."




Teman Sampai Syurga, insyaAllah.. :)


Sahabat yang satu ini benar-benar menguatkan hati saya
menghembuskan kembali semangat yang hampir hilang
mengingatkan saya bahwa hidup ini bukannya apa-apa untuk terlalu bersedih dengan segala ujian yang menimpa
kita masih punya akhirat..
masih punya harapan..


Bersyukurlah kerana masih diuji
Tuhan menguji tanda Dia cinta..
buat menghapuskan segala dosa-dosa kita..


Ingat janji kita ya sahabat..
Cita-cita tertinggi kita bukan hanya pada syurga
tetapi mengharapkan pertemuan dengan Dia yang menyatukan hati kita seerat ini..
Allahu Allah..indahnya cinta ini andai lurus keranaMu!

Saturday 29 September 2012

Penuhkan Hati Dengan Zikrullah

-->


Bukan setakat bertahmid, bertakbir dan menyebut nama Allah s.w.t sahaja. Malah apa jua cara pun yang boleh menyebabkan kita boleh mengingati Allah, maka itu adalah zikir. Misalnya dengan kita, melihat kepada pokok-pokok, lautan, gunung dan alam keseluruhan yang menyebabkan kita ingat kepada Allah, maka itu dinamakan zikir. Begitu juga apabila kita terdengar orang mendapat sakit, musibah dan bencana, lalu kita insaf dan ingat kepada Allah, maka itu juga dinamakan zikir.
 
Zikir adalah merupakan salah satu tradisi orang soleh. Bagi orang-orang soleh, berzikir merupakan hubungan jiwanya dengan Allah pada setiap waktu waktu sama ada dalam kesusahan atau di dalam aman, waktu berdiri, duduk atau berbaring. Dengan zikir jiwa mereka cergas, sihat dan kuat. Orang yang sedemikian bermakna jiwanya sentiasa hidup. Orang yang tidak dapat mengingati Allah bererti jiwanya telah mati., hatinya keras dan payah sekali untuk menerima kebenaran. Selain daripada itu orang yang berzikir amat payah sekali untuk digoda dan diajak oleh Syaitan dan nafsu untuk melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.
 
Kebanyakan hati manusia dikalahkan oleh Syaitan yang telah berjaya menyerap masuk ke dalam hatinya dengan pengaruh nafsu. Sehingga hati itu memilih keduniaan dan melupakan akhirat. Hal ini tidak dapat dikalahkan melainkan manusia itu kembali kepada zikir Allah (mengingati Allah). Berkata Jabir bin Ubaidah Al Adawi: Saya pernah mengeluh kepada Al A'la bin Ziyad: tentang was-was yang terdapat di dalam dada saya. Maka ia berkata: Bahawa Hati itu umpama sebuah rumah yang dilalui beberapa pencuri. Pencuri-pencuri itu berusaha mencuri apa-apa yang menjadi kegemarannya di dalam rumah tersebut. Tetapi jika di dalam rumah tersebut tidak mempunyai apa-apa, maka pencuri-pencuri itu akan melalui sahaja rumah itu dan akan meninggalkannya. Yakni hati yang bersih daripada syahwat nafsu tidak akan dimasuki Syaitan.
 
Kerana itu Allah berfirman: "Sesungguhnya hamba-hambaKu itu tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) ke atas mereka." (Bani Israil: 65)"
 
Bahawasanya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka diganggu oleh Syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah (berzikir), maka jika begitu mereka akan melihat." (Al A'raf: 201)
Untuk mengalahkan Syaitan hati perlu diisi dengan zikrullah dan iman. Dosa samada kecil atau besar adalah perosak dan peruntuh iman. Orang yang benar-benar mahu memelihara dan meningkatkan iman, janganlah melakukan dosa. Kalau terbuat cepat-cepatlah istigfar dan bertaubat kepada Allah.
 
Jika tidak Syaitan akan menjalankan tipudayanya. Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w pernah berkata : "Sesungguhnya Syaitan itu telah menaruh belalainya pada hati manusia. Maka apabila manusia itu ingat kepada Allah (zikrullah), mundurlah Syaitan dan apabila ia lupa kepada Allah, maka Syaitan itu menelan hatinya."
Untuk mengisi masa lapang (tidak membuang masa), maka penuhkan hati dengan ingat kepada Allah iaitu zikrullah. Jikalau tidak masa akan terbuang begitu sahaja dan kita telah mensia-siakan umur kita. Dengan Zikrullah, umur dapat dimenfaatkan dan kita sentiasa berada di dalam lindungan dan rahmatNya.

Thursday 7 June 2012

insan soleh vs manusia hipokrit


assalamu'alaikum. terima kasih kepada semua yang sudi melawat blog ini. :)..maafkan di atas segala kekurangan, untuk makluman, diri ini msih baru bertatih dalam bidang penulisan ini. menyedari, pentingnya dakwah dalam pelbagai medium..so bidang ini dipilih untuk berkongsi rasa dan tempat menabur benih demi menikmati saham di akhirat di samping ibadah ritual yang lain..

               ********************************
seorang sahabat pernah mengadu,

" akak, saya tertarik dengan seseorang yang sangat warak, bertudung labuh, lemah lembut ,selalu berada di surau, suka mengaji Quran..tetapi saya sangat terkejut apabila mendapati dia di 'sebaliknya'. orang yang 'solehah' ini  kecundang dalam soal meletakkan cinta di tempatnya. dia tertewas dengan cinta murahan, cinta lelaki yang belum miliknya. sehinggakan rela dia cagarkan maruahnya demi seorang lelaki"

fenomena yang sering berlaku. ramai yang kecundang dengan cinta palsu, walhal masing-masing diantaranya sudah tahu dengan jelas hukum-hukumnya. amanah ilmu yang diberikan Allah tidak 'digunakan' dalam kehidupannya sebagai seorang muslim dan da'i.

kali ini, penulis terpanggil untuk berbicara 'penyakit' yang dihadapi oleh kebanyakan orang. melihat kepada 'tulisan' di atas, pasti kalian tertanya-tanya bahkan sudahpun dapat menjangka apa yg ingin diluahkan kali ni. berdasarkan pemerhatian yang dibuat, semua ini berpunca dari yang satu ini. iaitu meremehkan solat..

meremehkan solat?? macammana...

Maimun bin Mahran seorang ulama tabiin yang berasal dari kufah, berkata : "Zikir itu terbahagi kepada dua iaitu berzikir dengan lisan. Namun lebih tinggi dari itu, berzikir(mengingati Allah) apabila hampir melakukan maksiat." (Riwayat Abu Nu'aim)

ibadah formal memang penting, tetapi ia belum mencukupi. islam menginginkan kesolehan ritual itu membuka jalan untuk kesolehan sosial dan kewarakan profesional. Allah berfirman yang bermaksud : "dan dirikan solat, sesungguhnya solat dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar." (surah al-Ankabut 29:45)

Rasulullah pernah ditanya tentang makna ayat ini. Baginda bersabda yang bermaksud : " sesiapa yang solatnya tidak menghalangnya daripada perbuatan keji dan mungkar, maka tidak (sempurna) solatnya." (Riwayat Al-Hafiz Ibnu Abi Hatim)

berkata Abu al-'aliyah (seorang ulama tabiin) : "solat mengandungi tiga perkara. setiap solat yang tidak memiliki salah satu daripada ketiga-tiganya, maka ia bukanlah solat. iaitu, IKHLAS, TAKUT dan MENGINGATI ALLAH. Ikhlas akan memerintahkannya ke arah kebaikkan, TAKUT akan menahannya daripada kemungkaran dan  MENGINGATI ALLAH (dengan al-quran) akan memberitahunya perintah dan larangan."

solat dan ibadah lain yang kita lakukan seharusnya membentuk peribadi-peribadi yang mulia. Dan itulah yang terjadi kepada tokoh-tokoh besar kita pada masa silam. kita lihat mereka merupakan orang yang sangat kusyuk dalam solat, juga jujur dalam menjaga batas-batas ikhtilat.

oleh itu wahai saudari dan saudara yang dimuliakan mantapkanlah ibadahmu dengan ilmu, dan beramallah dengan keikhlasan yang sebenar sehingga terserlah akhlakmu yang mulia, janganlah kalian berbangga dengan ilmu tanpa dipraktikkan dalam kehidupan seharianmu. berbaliklah pada tujuan asalmu belajar..adakah ianya kerana Allah atau ada agenda lain yang tersirat??

so...jangan tertipu!!. Islam formaliti ialah satu bentuk penipuan. ia menipu diri sendiri, menipu Allah dan menipu masyarakat. oleh sebab itu kita dinasihatkan agar tidak termakan tipu daya orang seperti ini. jangan cepat percaya hanya melihat kesolehan ritual sahaja. Tanpa amanah, kesolehan itu tidak bermakna.

berkata Saidina Umar Al-Khattab :" Aku tidak pernah tertipu dengan solat dan puasa seseorang. semua orang boleh berpuasa dan solat. akan tetapi tidak beragama orang yang tidak memiliki sifat amanah."

semoga Allah menjadikan kita insan-insan yang soleh dalam ibadah ritual, dan warak dalam pergaulan sosial. dan semoga Allah menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang dapat mengakibatkan azab kubur bagi kita semua, Amin ya Rabbal 'Alamin.