Tuesday, 5 March 2013
ISTIQAMAH DALAM MUJAHADAH
Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya, selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong melakukannya. Mengapa?
Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Semacam ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Ya, kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu.
Bagaimana kita hendak mengalahkan dua musuh ini demi mengembalikan pimpinan diri kepada diri sendiri? Samalah dengan berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata. Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin.Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu dan syaitan ini dinamakan mujahadah. Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Mengapa dikatakan demikian?
Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, mereka yang gagah bukanlah mereka yang dapat mengalahkan musuh zahirnya, tetapi adalah mereka yang dapat mengawal kemarahannya.Namun bukan mudah mengawal kemarahan justeru kemarahan adalah sifat buruk yang didalangi syaitan. Syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak menipu daya manusia. Bahkan sangat sedikit manusia yang berjaya mengatasi tipu dayanya. Dalam Al-Quran Allah menjamin orang yang tidak dapat ditipu daya oleh syaitan ialah mereka yang ikhlas.
Begitu juga dengan hawa nafsu, bukan mudah hendak dilawan kehendak dan hasutannya. Ini kerana nafsu itu adalah sebahagian daripada diri kita sendiri. Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu. Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu.
Syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya. Bukankah manusia sebaik Nabi Adam pun boleh ditipu oleh iblis hingga terkeluar dari syurga? Oleh kerana kedua-dua musuh itu tidak pernah berehat dari menyerang kita, maka kita sewajarnya tidak berehat untuk mempertahankan diri. Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut ‘mood’. Ia adalah satu perjuangan yang tidak henti-henti hinggal malaikat maut mencabut nyawa kita. Malah, hingga ke saat nyawa kita hendak bercerai dari jasad pun, syaitan terus berusaha menipu daya kita. Bahkan pada saat itu, tipu dayanya lebih dahsyat kerana itulah peluang terakhir untuk menyesatkan manusia agar mati dalam keadaan tidak beriman.
Setiap dosa yang kita buat kerana termakan hasutan syaitan adalah umpama titik hitam pada hati. Makin banyak kita berdosa, makin gelaplah hati. Bayangkan kalau kita bermujahadah sekali sekala&ldots;. ia umpama mencuci pakaian yang sangat kotor sekali sekala. Sudahlah jarang di cuci, kotoran yang terpalit makin banyak hari demi hari. Begitulah hati, jika malas ‘dibasuh’ dengan mujahadah, maka akan bertambah kotorlah ia hingga payah hendak dibersihkan lagi.
Oleh itu, satu prinsip asas dalam bermujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus menerus dan berkesinambungan dalam ‘peperangan’ dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka mujahadah itu tidak akan memberi kesan.
Istiqamah adalah sifat terpuji sama seperti mujahadah. Malah kedua-duanya merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus. Yakni berdiri teguh di jalan yang lurus, berpegang pada akidah yang tepat dan melaksanakan syariat dengan tekun serta berakhlak baik secara konsisiten.
Firman Allah : " Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau di perintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak nafsu mereka." (As-Syura :15)
Untuk beristiqamah dalam mujahadah, kita perlukan keteguhan keyakinan (iman), penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah, syaitan yang kita hadapi adalah makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk menyesatkan manusia. Hanya senjata mujahadah dan perisai istiqamah mampu berdepan dengan mereka.
Wednesday, 23 January 2013
Ya Rasulullah..Rindunya kami Padamu..
Assalamu'alaikum ya Rasulullah..
tiada hari yang paling indah
semerbak harum kasturi mewangi
hari isnin 12 Rabiulawal tahun gajah
seluruh alam bersinar cahaya
lahirnya seorang bayi yang indah amat sempurna
Aminah mendakap penuh kasih sayang
yatim yang suci anak Abdullah.......
ya Rasulullah..rindunya kami padamu..
semua orang mengakui cinta pada baginda, namun ramai di kalangan kita tidak mengadaptasikan pengakuan itu kepada amalan yg menunjukkan kita benar-benar cinta pada baginda SAW. (ya Allah..diri ini terlalu banyak kelemahan di sisi-Mu..ampunkan aku ya Rabb)
Bagaimana memupuk cinta pada Baginda ??
sahabat2 yang saya hormati dan kasihi..
masih belum terlambat untuk kita menzahirkan cinta kita pada baginda.
walau hati kita sekeras batu, sukar menangis dengan cerita-cerita keinsafan..
tetapi percayalah..jika kalian betol-betol mengenali baginda nabi Muhammad dan kisah - kisah di saat kehidupannya, pasti hari-hari kalian dihiasi tangisan yang berpanjangan lantaran rindukan baginda..dan sesudah itu, hati terasa tenang sehinggakan terasa rindu untuk mengadap maha Esa. Allahhurabbi..rindunya kami pada maghfirah-Mu. perasaan ini hanya akan hadir pada hati-hati yang bersih. iaitu bersih dari segala sifat ujub, riyak, sum'ah dan mengharapkan penghargaan manusia. sebaliknya, hati-hati yang suci ini merindui keredaan Allah dalam semua amal perbuatan mereka dan menjadikan sunnah Rasul sebagai panduan dirinya sebagai musafir di muka bumi Allah ini. (ya Allah, kurniakan kami hati itu)
BAGINDA SANGAT MENGINGINKAN KEBAIKKAN UNTUK KITA...
baginda banyak menangis kerana kita. banyak menderita kerana kita..demi keselamatan kita di dunia dan akhirat yakni selamat dengan cahaya Islam.
bayangkan sahabat-sahabat, saat baginda hendak menyampaikan dakwahnya pada penduduk Ta'if..baginda menerima hinaan yang menyakitkan. mereka langsung tidak menyambut ajakan baginda bahkan mencemuh, menghina dan mengusirnya. tidak cukup dengan itu, mereka turut menyeksa nabi, melempar nabi dengan batu-batu di sepanjang jalan yang dilalui baginda.
lemparan batu-batu tersebut mengenai baginda sehingga habis badan dan kaki baginda berdarah-darah. seorang sahabat bernama Zaid bin Haritsah yang turut bersamanya berusaha melindungi baginda juga terkena lemparan batu sehingga beberapa bahagian di kepalanya terluka. seksaan penduduk Thaif itu baru berhenti saat Rasulullah tiba di perbatasan kota.
apabila sampai di kebun milik Uthbah bin Rabiah baginda beristirehat di bawah sebatang pohon anggur yang rendang sambil membersihkan luka-lukanya. saat itu..Nabi berdoa dengan doa yang sangat mengharukan, "Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan tenagaku, kekurangan akal dan hujahku, serta kelemahan dayaku menghadapi manusia. Ya Allah yang maha penyayang, engkaulah tuhan orang-orang yang lemah dan engkau juga tuhanku. kepada siapakah hendakku serahkan diriku? kepada orang jauh yang memandang rendah kepadaku, atau kepada musuh yang Kau beri kuasa bagi menggagalkan urusan tugasku?..tidak kupedulikan keadaan ku ini, asalkan Engkau tidak murka kepadaku. Namun, bagiku rahmat-Mu amat luas. Cahaya wajah-Mu yang menerangi kegelapan dan menentukan kebaikkan urusan dunia dan akhirat. aku berlindung dari Murka-Mu yang akan menimpa diriku. aku sentiasa memohon keredaan-Mu, kerana tiada daya dan kekuatan kecuali atas perkenan-Mu".
pada saat itu, malaikat penjaga gunung turun dari langit menemui baginda seraya berkata, " Ya Rasulullah, perbuatan penduduk Thaif benar-benar sudah keterlaluan. Allah memerintahkan aku untuk berkhidmat padamu. izinkan aku menghukum kejahatan mereka. jika engkau berkenan, biarlah aku jatuhkan gunung itu kepada mereka sehingga mereka semua binasa". tetapi dengan segera Rasulullah menjawab," tidak wahai malaikat, jangan engkau lakukan hukuman seperti itu. aku melihat di kalangan penduduk thaif itu ada sedikit kebaikkan. jika mereka belum mahi beriman kepadaku saat ini, aku berharap anak-anak mereka kelak akan menjadi orang-orang beriman."
Rasulullah kemudian berdoa, " Ya Allah, ampunilah mereka..kerana sesungguhnya mereka itu belum mengetahui."
maka berkata malaikat penjaga gunung, " engkau benar-benar seperti yang disebut Tuhan-Mu."
apa yang dikatakan malaikat penjaga gunung ini merujuk kepada ayat Allah dalam surah At-taubah ayat 128. dalam surah ini dikatakan baginda bersifat belas kasihanterhadap orang beriman.
begitulah saudaraku yang dimuliakan, betapa agungnya akhlak baginda..betapa kasihnya, cintanya baginda pada kita. ini baru sebahagian..terlalu banyak kisah-kisah yang menyayat hati. penderitaan yang ditanggungnya sangat luarbiasa demi keselamatan kita. jadi, alasan apakah kita untuk tidak mencintai nabi Muhammad SAW??..dosa apakah yang membuatkan hati kita terhijab untuk mencintai nabi?? ..layakkah kita bergelar umatnya, sedang kita lalai dengan dunia yang banyak menyajikan keseronokan yang sementara ??
ayuh saudaraku..kita belum terlambat..untuk mencintai nabi bukan hanya untuk orang-orang yang bergelar ustaz-ustazah..namun cinta ini bersifat universal. siapa pun kita, arkitek, engineer, suri rumah bahkan pekebun.. kita layak mencintai nabi.
namun, bila dilihat di luar sana..masih ramai yang belum menjadikan islam cara hidup. hanya islam pada nama, namun cara hidup jauh tersasar. ya Allah..ini semua salahku. aku kurang berdoa untuk mereka. ampunkan dosaku ya Allah..izinkan aku menghadapmu dengan bekalan yang dapat aku melihat kegembiraan yang terpancar di wajah baginda di saat aku mengadapmu kelak.kau bukakanlah pintu hati mereka untuk menerima hidayah-Mu. aku cinta kekasih-Mu nabi Muhammad. aku tahu, baginda sangat menginginkan keselamatan umatnya. aku ingin menjejakinya..akan aku sematkan keinginan baginda menjadi keinginanku. ya Rahman, kurniakan aku kekuatan, hati yang ikhlas dalam perjalanan ini.. malu rasanya mengatakan cinta kepada baginda kekasih Allah. kerana baginda insan mulia sedangkan diriku insan biasa. ku pujuk jua hati dan jiwa. meluahkan rasa cinta membara. di dalam pujian ucapan selawat, tanda penghargaan seorang umat. ya Allah..diri ini masih banyak dosa di sisi-mu, ampunkan aku.
::::::>doaku..moga Allah memberi kalian penghayatan dalam menelusuri sirah nabi SAW. demi menyingkap sebuah mutiara di sebaliknya ...lantas ianya menjadi buah akhlak yang sangat harum. sehinggakan kalian dan diriku menjadi agen penyebar risalah nabi. kalian..umat terbaik. manfaatkan segala medium yang ada untuk menjadikan kalian 'ISLAM YANG BERGERAK' di muka bumi Allah. BerGeraK..menyegarkan jiwa-jiwa yang sedang layu kepada jiwa yang mendambakan keredhaan Allah.
~ ya Rasul, rindunya kami(umatmu) tidak terkata..syafaatkan kami.
Saturday, 15 December 2012
DUNIA TEMPAT BERPENAT, DI AKHIRAT NANTI KITA BEREHAT
Jangan
mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya.
Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu
serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang
diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu.
Manusia akan tersiksa oleh jangkaan
dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca
dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang
kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti
di Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan
menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat
kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya!
Jika ditakdirkan tidak kita temui
sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada.
Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak
runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang
kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak
miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya.
Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan
terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita.
Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia
ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin
tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah, kecewa, dipersenda dan
ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula
menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi
lebih tenang dan harmoni.
Mengapa di dunia ini tidak ada kedailan
yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan
yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah
kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar
ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan
kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman.
Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam
mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah
swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan
tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan
sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada
orang-orang yang beriman kepadaNya.
Lihat bagaimana nabi Zakaria AS, Nabi
Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh
kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak,
pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil,
biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan
mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba
tidak kena’.
Sekiranya kita berbuat baik kerana
mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada
manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang tidak
pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik
dibalas baik, tetapi bukan seua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada
yang Allah simpan di sana (akhirat).
Justeru, apabila Allah menyuruh manusia
melakuan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada
manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai
orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk
umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakanya dengan berkata,
“barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…”
Banyak hikmahnya mengapa Allah dan
RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa
mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan
dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada
Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha
melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa
yang setimpal.
Allah memujuk, Nabi Muhammad dan
orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai
Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang
yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke
suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun
gementar melihat keadaan yang berlaku).”
Impak daripada itu, manusia yang beriman
akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut,
merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan
redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air
limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak
seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’,
sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk
menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik.
Apabila inginkan kejayaan, tetapi
sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa,
kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang
ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada
orang yang gagal.”
Mereka tidak mengutuk orang lain,
keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan. Mereka tidak
akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari
tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam
kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan
adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!”
Oang yang telah menerima hakikat dunia
ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak
mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku
lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu? Ini bukan langkah muhasabah
yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging
habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung.
Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan
dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk
dan marah-marah kepada orang lain.
Dalam surah Al Fatehah, Allah menegaskan
bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca
pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna atau kehendak
daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita,
bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang
pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau
berkata-kata.
Di dunia ini, penjahat atau pelaku
kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana
kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan
menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti,
mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran
dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran…
bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan
mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda.
Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia
ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka
kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela
‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan
meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada
hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan
sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang
abadi dan lebih baik di akhirat nanti!”
Sampai ke takah ini, sekiranya hati masih
bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang
Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan
kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan
sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman
ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat: Dunia
tempat penat, di akhirat tempat berehat!
~sumber asal : genta-rasa.com
Friday, 30 November 2012
CORETAN KASIH~ INSAN BERNAMA SAHABAT
detik berlalu..makin
terasa pantasnya masa meninggalkan diri yg sering alpa. Sudah hampir empat
bulan meninggalkan dunia kampus. Sudah terlalu rindu meneguk ilmu di bumi kuin
penuh barakah. Alhamdulillah..Allah izinkan aku bertapak lagi di ‘sana’. Hanya
beberapa hari lagi diri ini bakal menginjakkan kaki ke medan ilmu. Semakin hari
terasa keinginan menyemarak bak api menyemarak pantas saat disimbahkan minyak.
“Ya Allah..biarkanlah
hati ini terus hanyut dengan cinta ilmu-Mu. Izinkan hati ini berjihad menggapai
Redha-Mu . Ikhlaskan hati ini dalam perjuangan ini, engkau maha baik ya
Rabb..tanpa pimpinan-Mu terasa lemah dan tak berdaya diri ini. ”
Entah mengapa, diri
ini rasa sayu ..mengenang betapa besar rahmat Allah, walhal diri ini penuh
dengan kelemahan. Bulan ini penuh dengan dugaan, mehnah di setiap penjuru.
Namun segalanya terasa mudah kerana pertolongan Allah hampir sekali. Terima
kasih cintaku. Engkau maha baik.
**************
Sesuatu yang tidak
diduga….
Dalam sibuk aku
menghadapi saat-saat akhir pengajianku beberapa bulan yang lalu, aku menerima
SMS dari insan yang sangat thiqah orangnya, seorang perantara yang aku kagumi
akhlaknya. Tentang risikan dari seorang jejaka yang tidak pernah aku kenali.
Allah..ia datang saat diri masih tidak bersedia. Walau berat hati memikirkan
soal ini..istikharah pengubat hati. Saban hari berlalu, seiring dengan
istikharah..hati masih terasa berat, tiada ketenangan saat persoalan ini
terlintas di fikiran. Akhirnya kata putus diambil jua. Diri terpaksa menolak
risikannya, menyedari belum layak untuk bergelar zaujah dalam tempoh
pengajianku..ilmu baru setahun jagung.
Apa pun, aku tak mahu
menolak lelaki itu hingga dia rasa terhina. Aku hanya mampu mengungkap bahawa
aku masih tak bersedia. Alhamdulillah hati ini lapang semula. Aku bertekad
untuk terus memburu cinta agung. Cinta-Nya sentiasa membawa kebahagiaan kepada
hati, perasaan dan kehidupan. Sampai saatnya nanti akan aku temui jua cinta
kekasih-Nya.
Hari ini..diri begitu
teruja untuk menyambung pengajianku ke peringkat seterusnya. Mengejar
cita-citaku demi membantu Deen-Nya. Syukur ya Rahman kerana memudahkan urusan
pengajianku. munkin tempohnya dirasakan lama..namun demi ilmu, empat tahun akan
aku manfaatkan sebaik-baiknya hanya kerana Allah semata. (ya Rabb..kurniakan
aku ikhlas dan istiqomah).
**************
Suatu malam yang meresahkan..hati tidak
tenteram, bagai ada sesuatu yang tidak kena. “ya Allah, gantikanlah kesedihan
ini dengan sesuatu yang lebih baik, dan berilah hati ini redha menerima segala
ketentuan-Mu yang mendatang” , hanya itu yang aku mampu ungkapkan saat itu.
“isk..isk..ana sedih,
ana tak mampu nak tanggung semua ni lagi.”
“Assalamu’alaikum,
uhkti kenapa ni? Enti ada masalah?”..aku hairan sejenak, sahabatku khairunnisa’
jarang sekali Nampak sedih begitu. Kali ni Nampak beliau betul-betul sedih.
Tanpa aku sedari air mengalir deras di pipiku tanpa dipinta. Tak tahu kenapa,
melihat kesedihannya membuatkan aku turut merasai penderitaan yang
ditanggungnya..
Kring!!! Kring!!!..
jam loceng yang setia di penjuru katilku mengejutkan tidurku. Jarum pendek
menunjukkan angka 5, manakala jarum panjang menunjukkan angka 12.
“Astaghfirullahal’azim.. aku bermimpi rupanya,
ya Allah..bagaimana keadaan sahabatku sekarang?”. Tanpa berlengah..aku bingkas
bangun. air yang dingin menyegarkan badanku..sejadah di gapai, dalam pekat
malam aku mengadu padanya dengan cucuran air mata. Terasa begitu syahdu.
“ ya Allah, tiada yang
lebih indah dari berzikir padamu, tiada yang lebih bahagia dari bersama
dengan-Mu. Dengan kebesaran jiwa-Mu, dengan keindahan wajah-Mu, dengan segala
kebaikkan-Mu..aku pohon pada-Mu, ampunilah dosaku, ibubapaku, sahabat-sahabatku,
guru-guruku, muslimin dan muslimat seluruhnya. Ya Rahman..saat ini munkin
sahabatku khairunnisa’ berada dalam kedukaan..bahagiakanlah hatinya dengan
rahmat-Mu..gantikanlah kesedihannya dengan sesuatu yang lebih baik baginya. Ya
Rabbi, aku merayu pada-Mu, berilah kesabaran, ketabahan kepadanya dalam
menghadapi setiap ujian-Mu. Aku yakin ya Rabb..setiap ujianMu adalah tanda
kasih sayang-Mu pada hamba-hambaMu. Berilah kami redha dengan setiap
ketentuanMu..amin, ya Rabbal ‘alamin. “
Sahabat..
tiada duka yang abadi
di dunia ini.
Tiada sepi merantaimu
selamanya.
Malam akan
berakhir..hari akan berganti
Takdir hidup akan terus
dijalani.
Tetapi aku percaya dan
yakini, ada keindahan di akhirnya. Iaitu di Syurga-Nya.
Saat engkau
bersedih..ingatlah Allah..kerana zikir adalah jambatan antara hamba dan
Tuhannya, ia merupakan jalan menuju kecintaan Allah dan Redha-Nya. Zikir
merupakan pintu untuk naik dan membuka. Zikir merupakan tanda-tanda orang-orang
yang ingin berjalan menuju Allah dan ia adalah kekuatan hati, makanan hati,
cahaya dan penerang penglihatan. Zikir merupakan jalan jalan untuk menyampaikanmu
kepada Tuhanmu, iaitu satu jalan memperoleh kewalian dan menjadi orang-orang
terpilih.
Akhir kalam, andai
engkau membaca coretanku ini..yakinilah sahabat, engkau sentiasa dekat
denganku..walau jasad kita terpisah jauh..namun ianya bukanlah asbab yang boleh
merenggangkan hubungan ini. Kita satu roh dalam satu jasad. Penderitaanmu,
kesakitanku jua.
Saat dirimu dilanda masalah, percayalah..
munkin Allah mahu kita menjadi mukminah yang lebih berkualiti setelah kita
ditarbiah dengan sabar. Bingkisan ini kutulis kerana aku terlalu menghargai dan
menyayangimu, duhai sahabat. Semoga lebih ramai mukminah yang akan mengecapi
nikmat bahagia apabila setiap dari kita dapat mencontohi peribadi mulia nabi
Muhammad SAW. Aku berdoa dapat bersahabat lagi denganmu di taman Firdausi.
~Sollu a’la Nabi
Muhammad SAW.
::: <3 ALLAH
<3 RASUL :::
Saturday, 3 November 2012
cinta seorang sahabat..
"Teman-teman akrab pada hari itu (hari kiamat)
sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagiaan yang lain kecuali orang-orang yang
bertakwa"
(43:67)
Hebat seorang sahabat..
Wajahnya bisa menarik hati kepangkuan
ilahi
lantas teringat aku pada Rabbi..
Hebat seorang sahabat..
Tuturnya yang damai bisa menggetarkan
jiwa-jiwa yang mati bangun kembali
mengejar kembali akhirat untuk hidup
tatkala mati..
Hebat seorang sahabat..
Jasadnya bekerja umpama angin ribut
salju
senyap,tegap,pantas,kemas
yang menatap turut bangkit dengan ruh
dan jasad..
Hebat seorang sahabat..
Cintanya pada Allah lebih dari yang
lain
termasuk aku sahabatnya ini..
Hebatnya diriMu Ya Allah..
Ada dikalangan hambaMu sehebat ini..
Kita Akan Dibangkitkan Di Hari Kiamat Bersama Orang Yang Kita Cintai..
Saya tatap lama kertas yang terselit dicelah lembaran Al-Quran itu.
Tahulah saya pasti
surat ini dari dia.
Aduhai..cintanya saya
pada sahabat yang seorang ini..
Sahabat..
Ketahuilah bahawa
setiap bicara kamu pada saya, selayaknya bicara yang sama dari saya untuk
kamu juga..
"Wahai Tuhan Yang Maha Baik..
Sahabatku yang satu ini amat aku cintai, kerana Engkau yang memberi anugerah ini
Dia cerminan untuk aku membetulkan diri
Ujian yang datang padanya,adalah teguran tidak langsung seorang hamba dari Penciptanya.."
"Tiap patah bicaranya umpama mendengar Engkau yang berkata-kata kepadaku
Tidak lekang namamu dibibirnya,lantas aku turut sama merasa kehadiranmu dalam setiap helaan nafas.."
"Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar..
Engkau telah mendengar segala sangkaan dan rintihan hati kami
Tautkan hati kami ini, Kau pimpinlah kami mengikut percaturanMu kerana kami akan tetap cuba berbaik sangka.."
"Satu ketika Dia temukan kita, Dia pisahkan kita dan kemudian Dia ketemukan kita semula.
semua itu dengan izinNya
Nanti..kita akan tunggu dan menunggu untuk ditemukan semula
Kalau nanti masa itu tidak tiba, maka akhiratlah masa penungguan seterusnya.."
Teman Sampai Syurga, insyaAllah.. :)
Sahabat yang satu ini benar-benar menguatkan hati saya
menghembuskan kembali semangat yang hampir hilang
mengingatkan saya bahwa hidup ini bukannya apa-apa untuk terlalu bersedih dengan segala ujian yang menimpa
kita masih punya akhirat..
masih punya harapan..
Bersyukurlah kerana masih diuji
Tuhan menguji tanda Dia cinta..
buat menghapuskan segala dosa-dosa kita..
Ingat janji kita ya sahabat..
Cita-cita tertinggi kita bukan hanya pada syurga
tetapi mengharapkan pertemuan dengan Dia yang menyatukan hati kita seerat ini..
Allahu Allah..indahnya cinta ini andai lurus keranaMu!
Subscribe to:
Posts (Atom)





