assalamu'alaikum. membina kasih sayang manusia demi kasih sayang Allah.....

Wednesday 4 April 2012

MEMILIH TEMPAT UNTUK MATI




Siapakah yang mampu melawan takdir saat malaikat Izrail sudah ‘ditugaskan’ untuk mengambil nyawa yang dipinjam. Banyak ceritera tentang kematian namun hanya beberapa minit ia terkesan di hati kecil. Kita tidak tahu, ibubapa kita tidak tahu, kawan kita juga tidak tahu. Tiada siapa tahu ajal masing-masing. Hanya Allah yang tahu.

Justeru, ingatlah kematian yang menanti. Bukan mengejar dan  mengutamakan dunia lebih daripada akhirat.

Siapa yang tidak lupa kubur dan kerosakan serta meninggalkan kelebihan daripada perhiasan dunia?
Siapa yang mengutamakan benda kekal daripada benda sementara dan rosak?
Siapa yang tidak menghitung-hitung harinya dan menganggap dirinya daripada golongan mati?

Buat renungan bersama.

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Andaikan dunia ini di sisi Allah SWT. menyamai nilai satu sayap nyamuk maka tidak akan diberikan kepada orang kafir walau seteguk air."

Syahr bin Hausyab dari Abdurrahman bin Usman berkata :
"Pada suatu malam Nabi Muhammad SAW sembahyang subuh di tempat pembuangan kotoran, maka melihat ulat bergerak dalam kotoran, maka Nabi Muhammad SAW menghentikan untunya menantikan orang-orang, lalu bertanya kepada orang-orang : 
"Apakah kamu mengetahui bahawa orang-orang di tempat ini jijik terhadap ulat ini?" Jawab mereka: "Benar, ya Rasulullah." Maka Nabi Muhammad SAW bersabda : "Demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tanganNya, sesungguhnya dunia ini lebih rendah (hina) di sisi Allah SWT melebihi dari hinanya ulat terhadap orang-orang yang mempunyai tempat ini."

Seorang mukmin meskipun adakalanya mewah dan nikmat, tetapi jika dibandingkan dengan nikmat dan kemewahan yang disediakan untuknya di syurga, maka seolah-olah ia berada di dalam penjara. 
Nabi Muhammad SAW bersabda : "Dunia sebagai penjara bagi orang mukmin dan kubur bagaikan bentengnya dan syurga tempat tinggalnya. Dan dunia ini sebagai syurga bagi orang kafir sedang kubur sebagai penjaranya dan neraka tempat tinggalnya."

Sebab seorang mukmin jika mati dan diperlihatkan kepadanya syurga dan kemuliaan yang ada di dalamnya, ia sedar bahawa selama di dunia seolah-olah dalam penjara. 

Sedang seorang kafir jika mati dan diperlihatkan kepadanya hukuman-hukuman dalam neraka, maka ia merasa bahawa ia tadi dalam syurga. 

Kerana itu seorang yang berakal tidak akan merasa gembira dalam penjara dan tidak akan mencari kesenangan dalam penjara. Maka seorang yang berakal harus memperhatikan apa yang telah dijelaskan Allah SWT mengenai dunia dalam ayat-ayat Al-Quran, sebab dalam ayat Al-Quran dan sabda Nabi Muhammad SAW cukup perumpamaan yang jelas supaya orang mukmin jangan tertipu oleh dunia.

Fikirkan ayat 24 Surah Yunus :
"Sesungguhnya perumpamaan kerosakan dunia ini bagaikan air yang Kami turunkan dari langit maka meresap kedalam tanah dan menumbuhkan makanan orang-orang dan binatang-binatang, sehingga apabila bumi ini telah berhias dengan segala hasilnya dan indah dan pemiliknya telah mengira ia sangat berkuasa atasnya, tiba-tiba datang siksa Allah di waktu malam atau siang hari, maka jadilah semua itu terketam habis, seakan-akan tidak ada apa-apa sejak kelmarinnya. Demikianlah contoh dunia ini. Kami jelaskan bagi orang-orang yang suka berfikir dan memperhatikan."

Yahya bin Mu'adz Arrazi pernah  berkata : "Dunia ini bagaikan ladang Tuhan Rabbul a'lamin dan manusia sebagai tanamannya sedang maut itu sebagai cangkulnya. Dan Malakulmaut itu sebagai pengetamnya dan kubur sebagai lombongnya dan kiamat sebagai lesungnya dan syurga atau neraka tempat pemuasnya, sebahagian syurga dan sebahagian dalam neraka Sa'ir."
Luqman Al hakim berkata kepada puteranya: "Hai anak, sesungguhnya dunia ini adalah lautan yang sangat dalam dan telah tenggelam di dalamnya kebanyakkan manusia, kerana itu jadilah perahu di dunia ini taqwa kepada Allah SWT"

Bermakna, andai muatan perahu kita adalah taqwa, maka kita akan selamat daripada lautan fitnah dunia. Pilihlah tempat untuk mati dengan biasakan kaki melangkah ke tempat-tempat beribadah. Belajar itu ibadah. Bekerja itu ibadah. Solat itu ibadah. Segala amalan kita adalah ibadah asalkan niat lillahi taala dan kena caranya.

No comments:

Post a Comment