assalamu'alaikum. membina kasih sayang manusia demi kasih sayang Allah.....

Friday, 30 November 2012

CORETAN KASIH~ INSAN BERNAMA SAHABAT


detik berlalu..makin terasa pantasnya masa meninggalkan diri yg sering alpa. Sudah hampir empat bulan meninggalkan dunia kampus. Sudah terlalu rindu meneguk ilmu di bumi kuin penuh barakah. Alhamdulillah..Allah izinkan aku bertapak lagi di ‘sana’. Hanya beberapa hari lagi diri ini bakal menginjakkan kaki ke medan ilmu. Semakin hari terasa keinginan menyemarak bak api menyemarak pantas saat disimbahkan minyak.

“Ya Allah..biarkanlah hati ini terus hanyut dengan cinta ilmu-Mu. Izinkan hati ini berjihad menggapai Redha-Mu . Ikhlaskan hati ini dalam perjuangan ini, engkau maha baik ya Rabb..tanpa pimpinan-Mu terasa lemah dan tak berdaya diri ini. ”
Entah mengapa, diri ini rasa sayu ..mengenang betapa besar rahmat Allah, walhal diri ini penuh dengan kelemahan. Bulan ini penuh dengan dugaan, mehnah di setiap penjuru. Namun segalanya terasa mudah kerana pertolongan Allah hampir sekali. Terima kasih cintaku. Engkau maha baik.

**************

Sesuatu yang tidak diduga….

Dalam sibuk aku menghadapi saat-saat akhir pengajianku beberapa bulan yang lalu, aku menerima SMS dari insan yang sangat thiqah orangnya, seorang perantara yang aku kagumi akhlaknya. Tentang risikan dari seorang jejaka yang tidak pernah aku kenali. Allah..ia datang saat diri masih tidak bersedia. Walau berat hati memikirkan soal ini..istikharah pengubat hati. Saban hari berlalu, seiring dengan istikharah..hati masih terasa berat, tiada ketenangan saat persoalan ini terlintas di fikiran. Akhirnya kata putus diambil jua. Diri terpaksa menolak risikannya, menyedari belum layak untuk bergelar zaujah dalam tempoh pengajianku..ilmu baru setahun jagung. 

Apa pun, aku tak mahu menolak lelaki itu hingga dia rasa terhina. Aku hanya mampu mengungkap bahawa aku masih tak bersedia. Alhamdulillah hati ini lapang semula. Aku bertekad untuk terus memburu cinta agung. Cinta-Nya sentiasa membawa kebahagiaan kepada hati, perasaan dan kehidupan. Sampai saatnya nanti akan aku temui jua cinta kekasih-Nya. 

Hari ini..diri begitu teruja untuk menyambung pengajianku ke peringkat seterusnya. Mengejar cita-citaku demi membantu Deen-Nya. Syukur ya Rahman kerana memudahkan urusan pengajianku. munkin tempohnya dirasakan lama..namun demi ilmu, empat tahun akan aku manfaatkan sebaik-baiknya hanya kerana Allah semata. (ya Rabb..kurniakan aku ikhlas dan istiqomah).

**************
 Suatu malam yang meresahkan..hati tidak tenteram, bagai ada sesuatu yang tidak kena. “ya Allah, gantikanlah kesedihan ini dengan sesuatu yang lebih baik, dan berilah hati ini redha menerima segala ketentuan-Mu yang mendatang” , hanya itu yang aku mampu ungkapkan saat itu.
“isk..isk..ana sedih, ana tak mampu nak tanggung semua ni lagi.”
“Assalamu’alaikum, uhkti kenapa ni? Enti ada masalah?”..aku hairan sejenak, sahabatku khairunnisa’ jarang sekali Nampak sedih begitu. Kali ni Nampak beliau betul-betul sedih. Tanpa aku sedari air mengalir deras di pipiku tanpa dipinta. Tak tahu kenapa, melihat kesedihannya membuatkan aku turut merasai penderitaan yang ditanggungnya..

Kring!!! Kring!!!.. jam loceng yang setia di penjuru katilku mengejutkan tidurku. Jarum pendek menunjukkan angka 5, manakala jarum panjang menunjukkan angka 12.
 “Astaghfirullahal’azim.. aku bermimpi rupanya, ya Allah..bagaimana keadaan sahabatku sekarang?”. Tanpa berlengah..aku bingkas bangun. air yang dingin menyegarkan badanku..sejadah di gapai, dalam pekat malam aku mengadu padanya dengan cucuran air mata. Terasa begitu syahdu.

“ ya Allah, tiada yang lebih indah dari berzikir padamu, tiada yang lebih bahagia dari bersama dengan-Mu. Dengan kebesaran jiwa-Mu, dengan keindahan wajah-Mu, dengan segala kebaikkan-Mu..aku pohon pada-Mu, ampunilah dosaku, ibubapaku, sahabat-sahabatku, guru-guruku, muslimin dan muslimat seluruhnya. Ya Rahman..saat ini munkin sahabatku khairunnisa’ berada dalam kedukaan..bahagiakanlah hatinya dengan rahmat-Mu..gantikanlah kesedihannya dengan sesuatu yang lebih baik baginya. Ya Rabbi, aku merayu pada-Mu, berilah kesabaran, ketabahan kepadanya dalam menghadapi setiap ujian-Mu. Aku yakin ya Rabb..setiap ujianMu adalah tanda kasih sayang-Mu pada hamba-hambaMu. Berilah kami redha dengan setiap ketentuanMu..amin, ya Rabbal ‘alamin. “

Sahabat..
tiada duka yang abadi di dunia ini.
Tiada sepi merantaimu selamanya.
Malam akan berakhir..hari akan berganti
Takdir hidup akan terus dijalani.
Tetapi aku percaya dan yakini, ada keindahan di akhirnya. Iaitu di Syurga-Nya.

Saat engkau bersedih..ingatlah Allah..kerana zikir adalah jambatan antara hamba dan Tuhannya, ia merupakan jalan menuju kecintaan Allah dan Redha-Nya. Zikir merupakan pintu untuk naik dan membuka. Zikir merupakan tanda-tanda orang-orang yang ingin berjalan menuju Allah dan ia adalah kekuatan hati, makanan hati, cahaya dan penerang penglihatan. Zikir merupakan jalan jalan untuk menyampaikanmu kepada Tuhanmu, iaitu satu jalan memperoleh kewalian dan menjadi orang-orang terpilih.

Akhir kalam, andai engkau membaca coretanku ini..yakinilah sahabat, engkau sentiasa dekat denganku..walau jasad kita terpisah jauh..namun ianya bukanlah asbab yang boleh merenggangkan hubungan ini. Kita satu roh dalam satu jasad. Penderitaanmu, kesakitanku jua.

 Saat dirimu dilanda masalah, percayalah.. munkin Allah mahu kita menjadi mukminah yang lebih berkualiti setelah kita ditarbiah dengan sabar. Bingkisan ini kutulis kerana aku terlalu menghargai dan menyayangimu, duhai sahabat. Semoga lebih ramai mukminah yang akan mengecapi nikmat bahagia apabila setiap dari kita dapat mencontohi peribadi mulia nabi Muhammad SAW. Aku berdoa dapat bersahabat lagi denganmu di taman Firdausi.
~Sollu a’la Nabi Muhammad SAW.
:::  <3 ALLAH  <3 RASUL  :::

Saturday, 3 November 2012

cinta seorang sahabat..





"Teman-teman akrab pada hari itu (hari kiamat) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagiaan yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa" 
(43:67)

Hebat seorang sahabat..
Wajahnya bisa menarik hati kepangkuan ilahi
lantas teringat aku pada Rabbi..

Hebat seorang sahabat..
Tuturnya yang damai bisa menggetarkan jiwa-jiwa yang mati bangun kembali
mengejar kembali akhirat untuk hidup tatkala mati..

Hebat seorang sahabat..
Jasadnya bekerja umpama angin ribut salju
senyap,tegap,pantas,kemas
yang menatap turut bangkit dengan ruh dan jasad..

Hebat seorang sahabat..
Cintanya pada Allah lebih dari yang lain
termasuk aku sahabatnya ini..

Hebatnya diriMu Ya Allah..
Ada dikalangan hambaMu sehebat ini..


Kita Akan Dibangkitkan Di Hari Kiamat Bersama Orang Yang Kita Cintai..



Saya tatap lama kertas yang terselit dicelah lembaran Al-Quran itu.
Tahulah saya pasti surat ini dari dia.
Aduhai..cintanya saya pada sahabat yang seorang ini..

Sahabat..
Ketahuilah bahawa setiap bicara kamu pada saya, selayaknya bicara yang sama dari saya untuk kamu juga..



"Wahai Tuhan Yang Maha Baik..
Sahabatku yang satu ini amat aku cintai, kerana Engkau yang memberi anugerah ini
Dia cerminan untuk aku membetulkan diri
Ujian yang datang padanya,adalah teguran tidak langsung seorang hamba dari Penciptanya.."


"Tiap patah bicaranya umpama mendengar Engkau yang berkata-kata kepadaku
Tidak lekang namamu dibibirnya,lantas aku turut sama merasa kehadiranmu dalam setiap helaan nafas.."


"Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar..
Engkau telah mendengar segala sangkaan dan rintihan hati kami
Tautkan hati kami ini, Kau pimpinlah kami mengikut percaturanMu kerana kami akan tetap cuba berbaik sangka.."


"Satu ketika Dia temukan kita, Dia pisahkan kita dan kemudian Dia ketemukan kita semula.
semua itu dengan izinNya
Nanti..kita akan tunggu dan menunggu untuk ditemukan semula
Kalau nanti masa itu tidak tiba, maka akhiratlah masa penungguan seterusnya.."




Teman Sampai Syurga, insyaAllah.. :)


Sahabat yang satu ini benar-benar menguatkan hati saya
menghembuskan kembali semangat yang hampir hilang
mengingatkan saya bahwa hidup ini bukannya apa-apa untuk terlalu bersedih dengan segala ujian yang menimpa
kita masih punya akhirat..
masih punya harapan..


Bersyukurlah kerana masih diuji
Tuhan menguji tanda Dia cinta..
buat menghapuskan segala dosa-dosa kita..


Ingat janji kita ya sahabat..
Cita-cita tertinggi kita bukan hanya pada syurga
tetapi mengharapkan pertemuan dengan Dia yang menyatukan hati kita seerat ini..
Allahu Allah..indahnya cinta ini andai lurus keranaMu!

Saturday, 29 September 2012

Penuhkan Hati Dengan Zikrullah

-->


Bukan setakat bertahmid, bertakbir dan menyebut nama Allah s.w.t sahaja. Malah apa jua cara pun yang boleh menyebabkan kita boleh mengingati Allah, maka itu adalah zikir. Misalnya dengan kita, melihat kepada pokok-pokok, lautan, gunung dan alam keseluruhan yang menyebabkan kita ingat kepada Allah, maka itu dinamakan zikir. Begitu juga apabila kita terdengar orang mendapat sakit, musibah dan bencana, lalu kita insaf dan ingat kepada Allah, maka itu juga dinamakan zikir.
 
Zikir adalah merupakan salah satu tradisi orang soleh. Bagi orang-orang soleh, berzikir merupakan hubungan jiwanya dengan Allah pada setiap waktu waktu sama ada dalam kesusahan atau di dalam aman, waktu berdiri, duduk atau berbaring. Dengan zikir jiwa mereka cergas, sihat dan kuat. Orang yang sedemikian bermakna jiwanya sentiasa hidup. Orang yang tidak dapat mengingati Allah bererti jiwanya telah mati., hatinya keras dan payah sekali untuk menerima kebenaran. Selain daripada itu orang yang berzikir amat payah sekali untuk digoda dan diajak oleh Syaitan dan nafsu untuk melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.
 
Kebanyakan hati manusia dikalahkan oleh Syaitan yang telah berjaya menyerap masuk ke dalam hatinya dengan pengaruh nafsu. Sehingga hati itu memilih keduniaan dan melupakan akhirat. Hal ini tidak dapat dikalahkan melainkan manusia itu kembali kepada zikir Allah (mengingati Allah). Berkata Jabir bin Ubaidah Al Adawi: Saya pernah mengeluh kepada Al A'la bin Ziyad: tentang was-was yang terdapat di dalam dada saya. Maka ia berkata: Bahawa Hati itu umpama sebuah rumah yang dilalui beberapa pencuri. Pencuri-pencuri itu berusaha mencuri apa-apa yang menjadi kegemarannya di dalam rumah tersebut. Tetapi jika di dalam rumah tersebut tidak mempunyai apa-apa, maka pencuri-pencuri itu akan melalui sahaja rumah itu dan akan meninggalkannya. Yakni hati yang bersih daripada syahwat nafsu tidak akan dimasuki Syaitan.
 
Kerana itu Allah berfirman: "Sesungguhnya hamba-hambaKu itu tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) ke atas mereka." (Bani Israil: 65)"
 
Bahawasanya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka diganggu oleh Syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah (berzikir), maka jika begitu mereka akan melihat." (Al A'raf: 201)
Untuk mengalahkan Syaitan hati perlu diisi dengan zikrullah dan iman. Dosa samada kecil atau besar adalah perosak dan peruntuh iman. Orang yang benar-benar mahu memelihara dan meningkatkan iman, janganlah melakukan dosa. Kalau terbuat cepat-cepatlah istigfar dan bertaubat kepada Allah.
 
Jika tidak Syaitan akan menjalankan tipudayanya. Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w pernah berkata : "Sesungguhnya Syaitan itu telah menaruh belalainya pada hati manusia. Maka apabila manusia itu ingat kepada Allah (zikrullah), mundurlah Syaitan dan apabila ia lupa kepada Allah, maka Syaitan itu menelan hatinya."
Untuk mengisi masa lapang (tidak membuang masa), maka penuhkan hati dengan ingat kepada Allah iaitu zikrullah. Jikalau tidak masa akan terbuang begitu sahaja dan kita telah mensia-siakan umur kita. Dengan Zikrullah, umur dapat dimenfaatkan dan kita sentiasa berada di dalam lindungan dan rahmatNya.

Thursday, 7 June 2012

insan soleh vs manusia hipokrit


assalamu'alaikum. terima kasih kepada semua yang sudi melawat blog ini. :)..maafkan di atas segala kekurangan, untuk makluman, diri ini msih baru bertatih dalam bidang penulisan ini. menyedari, pentingnya dakwah dalam pelbagai medium..so bidang ini dipilih untuk berkongsi rasa dan tempat menabur benih demi menikmati saham di akhirat di samping ibadah ritual yang lain..

               ********************************
seorang sahabat pernah mengadu,

" akak, saya tertarik dengan seseorang yang sangat warak, bertudung labuh, lemah lembut ,selalu berada di surau, suka mengaji Quran..tetapi saya sangat terkejut apabila mendapati dia di 'sebaliknya'. orang yang 'solehah' ini  kecundang dalam soal meletakkan cinta di tempatnya. dia tertewas dengan cinta murahan, cinta lelaki yang belum miliknya. sehinggakan rela dia cagarkan maruahnya demi seorang lelaki"

fenomena yang sering berlaku. ramai yang kecundang dengan cinta palsu, walhal masing-masing diantaranya sudah tahu dengan jelas hukum-hukumnya. amanah ilmu yang diberikan Allah tidak 'digunakan' dalam kehidupannya sebagai seorang muslim dan da'i.

kali ini, penulis terpanggil untuk berbicara 'penyakit' yang dihadapi oleh kebanyakan orang. melihat kepada 'tulisan' di atas, pasti kalian tertanya-tanya bahkan sudahpun dapat menjangka apa yg ingin diluahkan kali ni. berdasarkan pemerhatian yang dibuat, semua ini berpunca dari yang satu ini. iaitu meremehkan solat..

meremehkan solat?? macammana...

Maimun bin Mahran seorang ulama tabiin yang berasal dari kufah, berkata : "Zikir itu terbahagi kepada dua iaitu berzikir dengan lisan. Namun lebih tinggi dari itu, berzikir(mengingati Allah) apabila hampir melakukan maksiat." (Riwayat Abu Nu'aim)

ibadah formal memang penting, tetapi ia belum mencukupi. islam menginginkan kesolehan ritual itu membuka jalan untuk kesolehan sosial dan kewarakan profesional. Allah berfirman yang bermaksud : "dan dirikan solat, sesungguhnya solat dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar." (surah al-Ankabut 29:45)

Rasulullah pernah ditanya tentang makna ayat ini. Baginda bersabda yang bermaksud : " sesiapa yang solatnya tidak menghalangnya daripada perbuatan keji dan mungkar, maka tidak (sempurna) solatnya." (Riwayat Al-Hafiz Ibnu Abi Hatim)

berkata Abu al-'aliyah (seorang ulama tabiin) : "solat mengandungi tiga perkara. setiap solat yang tidak memiliki salah satu daripada ketiga-tiganya, maka ia bukanlah solat. iaitu, IKHLAS, TAKUT dan MENGINGATI ALLAH. Ikhlas akan memerintahkannya ke arah kebaikkan, TAKUT akan menahannya daripada kemungkaran dan  MENGINGATI ALLAH (dengan al-quran) akan memberitahunya perintah dan larangan."

solat dan ibadah lain yang kita lakukan seharusnya membentuk peribadi-peribadi yang mulia. Dan itulah yang terjadi kepada tokoh-tokoh besar kita pada masa silam. kita lihat mereka merupakan orang yang sangat kusyuk dalam solat, juga jujur dalam menjaga batas-batas ikhtilat.

oleh itu wahai saudari dan saudara yang dimuliakan mantapkanlah ibadahmu dengan ilmu, dan beramallah dengan keikhlasan yang sebenar sehingga terserlah akhlakmu yang mulia, janganlah kalian berbangga dengan ilmu tanpa dipraktikkan dalam kehidupan seharianmu. berbaliklah pada tujuan asalmu belajar..adakah ianya kerana Allah atau ada agenda lain yang tersirat??

so...jangan tertipu!!. Islam formaliti ialah satu bentuk penipuan. ia menipu diri sendiri, menipu Allah dan menipu masyarakat. oleh sebab itu kita dinasihatkan agar tidak termakan tipu daya orang seperti ini. jangan cepat percaya hanya melihat kesolehan ritual sahaja. Tanpa amanah, kesolehan itu tidak bermakna.

berkata Saidina Umar Al-Khattab :" Aku tidak pernah tertipu dengan solat dan puasa seseorang. semua orang boleh berpuasa dan solat. akan tetapi tidak beragama orang yang tidak memiliki sifat amanah."

semoga Allah menjadikan kita insan-insan yang soleh dalam ibadah ritual, dan warak dalam pergaulan sosial. dan semoga Allah menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang dapat mengakibatkan azab kubur bagi kita semua, Amin ya Rabbal 'Alamin.

Saturday, 26 May 2012

KETAWA YANG AKHIR...

Keyakinan kepada Hari Akhirat sangat penting ketika hidup di dunia. Itulah prinsip yang menjadikan manusia mampu melaksanakan kebaikan walaupun sekiranya tidak mendapat penghargaan atau ganjaran. Dan itulah juga penghalang untuk tidak melakukan kejahatan sekalipun terlepas daripada undang-undang dan pemerhatian orang. Justeru, dunia tidak adil. Acapkali orang baik ditindas dan dizalimi. Manakala orang jahat pula yang disanjung dan dipuja.

Apakah kerana dunia tidak adil kita akan berhenti melakukan kebaikan? Tidak. Orang beriman akan terus membuat kebaikan kerana yakin adanya Hari Ahirat. Di sana setiap kebaikan pasti mendapat balasan. Apa yang lebih diharapkan adalah ganjaran akhirat bukan keuntungan dunia. Hidup di dunia adalah  untuk ‘menanam’ pohon kebaikan sebanyak-banyaknya. Insya-Allah di akhirat nanti akan dituai hasilnya. Mereka yakin, “one who laughs last, laugh best – yang ketawa terakhir ialah ketawa yang terbaik!

Orang beriman celik mata hati. Syurga, pahala, keredhaan Allah dan pengampunanNya jelas tertera di ruang hati. Mereka rela rugi, dicaci dan menderita di dunia yang sementara demi mendapat ganjaran, pujian dan kesenangan di akhirat yang abadi. Dunia ini dirasakan ladang tempat bercucuk tanam. Justeru, mereka adalah orang yang paling sibuk berkerja di dunia. Mereka sentiasa aktif dan produktif. Ya, kecintaan kepada syurga tidak bermakna meminggirkan dunia! 

Hati orang beriman dapat melihat dengan jelas dunia yang dekat dan akhirat yang jauh. Yang dekat (dunia) dimanfaatkan semaksimumnya demi keuntungan pada yang jauh (akhirat). Hati mereka tidak rabun dekat dan juga tidak rabun jauh. Hubungan kesalingan antara keduanya dapat dilihat dengan jelas dan tepat. Menerusi pandangan mata hati, mereka memburu dunia dengan sebanyak-banyaknya… Namun bukan untuk diletakkan di dalam hati. Sebaliknya, hanya diletakkan di tangan agar mudah diagih-agihkan.

RABUN JAUH
Sebahagian besar manusia, rabun jauh… hanya nampak kehidupan dunia. Akhirat seolah-olah tidak ada. Memburu kenikmatan dan kesenangan dunia tanpa memikirkan soal halal dan haram. Menipu, rasuah dan mengambil hak orang lain dengan penuh kelicikan dan tipu daya. Undang-undang dan peraturan dunia dimanupulasi dan dieksploitasi dengan bijaknya. Mengumpul harta sebanyak-banyaknya seolah-olah ingin hidup selama-lamanya di dunia.

Mereka lupa bahawa memburu dunia dengan melupakan akhirat hanya meninggikan tempat jatuh. Semakin banyak kuantiti harta yang mereka dapat, semakin banyak banyak kualiti jiwa yang mereka hilang. Ketamakan, kerakusan, kekejaman dan kepura-puraan akan melanda hidup mereka. Mereka akan ‘diburu’ oleh apa yang mereka buru. Harta adalah hamba yang paling baik tetapi tuan yang sangat kejam!

Maksudnya, selagi dunia dijadikan alat untuk mencapai matlamat (membuat kebaikan sebanyak-banyaknya), maka selagi itulah ia akan memberi manfaat. Sebaliknya, jika dunia sudah dijadikan matlamat… ia akan menipu dan menghancur pemburunya. Firman Allah: “Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (3:185) Menikmati kesenangan dunia tanpa mencintai akhirat umpama minum air laut… Semakin diminum akan semakin haus. Manusia hakikatnya bukan warga dunia, manusia adalah warga akhirat. Kata hukama:”Dunia diciptakan untuk manusia. Manusia diciptakan untuk akhirat.”

Dunia adalah alat, akhirat itulah matlamat. Tetapi manusia yang punya hati yang ‘rabun jauh’ hanya dapat melihat yang dekat dan singkat. Alangkah ruginya apabila umpan (dunia) lebih dipentingkan 

daripada ikannya (akhirat). Alangkah bodohnya membuat pondok di atas jembatan sedangkan villa di seberang sungai lebih cantik dan agam?

Golongan rabun akhirat ini sangat berkira dan banyak alasan  untuk tidak membuat kebaikan. Jika tidak mendapat ganjaran dan pujian mereka akan berhenti memberi. Mereka memberi hanya untuk menerima lebih banyak. Tidak ada istilah budi dan pahala lagi. Hanya ada laba dan dosa. Pantang ada peluang dan kesempatan, mereka akan melakukan kejahatan untuk mendapat keseronokan dan keuntungan. Mulut mengatakan akhirat itu ada… tetapi di hati, akhirat itu telah mati.

RABUN DEKAT
Ada pula golongan manusia yang punya hati rabun dekat. Mereka tidak mampu melihat dunia ini sebagai kebun akhirat. Dunia ini dirasakan bangkai yang busuk dan menjijikan. Lalu mereka menjauh dan membenci dunia. Kononnya hati mereka di akhirat tetapi terlupa bahawa kakinya masih menjejak dunia. Mereka ingin menyeberang tanpa jembatan, memburu matlamat tanpa alat… ingin memancing ikan tanpa umpan!

Mana mungkin kita memberi tanpa memiliki? Mana mungkin kita memiliki tanpa mencari? Mencari, memiliki dan memberi adalah tiga langkah yang perlu untuk memberi manfaat kepada orang lain. Orang beriman mesti mencari dunia… kemudian memilikinya dan akhirnya memberinya. Malangnya, golongan ‘rabun dekat’ ini menghindari dunia dan membencinya… lalu apakah yang hendak mereka berikan?

Jika tidak ada harta, mana mungkin ada pahala sedekah dan zakat? Jika tidak ada senjata, mana mungkin ada perjuangan dan jihad? Tanpa harta Sayidina Abu Bakar ra, Bilal akan terus menjadi hamba. Tanpa infak harta oleh Sayidina Utman ra, kaum Ansar dan Mujahirin tidak akan ada sumber air di Negara Islam Madinah. Justeru, jadilah tangan yang di atas… dengan mencari, memiliki dan memberi harta. Milikilah hati yang celik… dengan  mencintai syurga tanpa meminggirkan dunia!
~sumber asal : Genta-Rasa.com

Monday, 21 May 2012

BICARA IDOLAKU~Pengorbanan Zainab Al-Ghazali


Ada sebuah kisah menarik yang pernah terjadi di suatu negeri pada tahun 1965. Peristiwa ini, perlulah dijadikan pengajaran terutamanya untuk kaum muslimat. Di waktu itu, hiduplah seorang aktivis muslimah yang menyeru manusia kepada Allah SWT. Namanya Zainab Al-Ghazali.

Dia adalah seorang da’ei wanita yang cukup gigih dalam dakwahnya. Dalam hidup sehariannya, yang ada didalam fikirannya hanyalah bagaimana menyebarkan kebajikan dan membimbing manusia ke jalan yang benar. Dia memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam. Ketajaman kata-katanya dalam berdakwah membuat dia harus berhadapan dengan pemimpin negeri ini yang zalim pada saat itu.

Zainab Al-Ghazali pun telah menjalani fasa-fasa penyiksaan. Meremang bulu roma di saat mendengar kisahnya. Meski demikian, keyakinanannya akan pertolongan Allah swt., kelazatan iman yang dirasakannya, serta tekad yang membaja membuat ia terus bersabar. Pada Ogos 1965, Rumah Zainab Al-Ghazali digeledah oleh beberapa tentara, tanpa ada izin terlebih dahulu.
Tatkala ia meminta diperlihatkan surat penggeledahan, mereka menjawab, “Surat tugas yang mana, hai orang gila! Kami sekarang dalam masa, dimana kami bebas melakukan apa saja yang kami kehendaki terhadap kamu.” Tanpa penjelasan lain yang menjadi bukti, mereka terus mengheret Zainab Al-Ghazali keluar rumah dan dibawa dengan kereta. Tanpa pembelaan, muslimah yang tekun beribadah ini terus dimasukkan ke penjara. Namun dia tetap sabar dan mengharap pahala dari Allah swt. atas ujian yang diterimanya itu. Ia dimasukkan ke dalam ruangan penjara bernombor 24. Berikut adalah cerita pengalaman beliau sepanjang berada didalam penjara:

“Sebuah pintu ruangan yang sangat gelap dibuka, lalu aku dimasukkan kedalamnya. Dan ketika ruangan itu telah menelan diriku, aku mengucapkan, “Bismillah As-salamu’alaikum.” Kemudian, pintu itu ditutup kembali. Setelah itu, lampu yang sangat terang dinyalakan dengan tiba-tiba. Ini dimaksudkan untuk menyiksa diriku. Ruangan itu dipenuhi oleh beberapa anjing. Aku tidak mengetahui berapa jumlahnya. Aku pejamkan kedua mataku dan aku letakkan kedua tanganku didadaku, kerana ketakutan yang mencekam. Lalu aku dengar suara pintu dikunci dengan rantai dan gembok besar. Anjing-anjing itu terus menyerangku dan mengigit sekujur tubuhku, kepalaku, kedua tanganku, dadaku, punggungku dan di seluruh bagian tubuhku kurasakan tusukkan taring-taring anjing.
Sakit sekali. Tatkala aku mencuba membuka mata untuk melihat, maka dengan segera kupejamkan kembali kerana ketakutan yang sangat. Lalu kuletakkan kedua tanganku di bawah kedua ketiakku, sambil menyebut asma-asma Allah swt. (Asmaul Husna), mulai dari kata, “Ya Allah, Ya Allah…” Satu per satu nama agung Allah kubaca. Sementara anjing-anjing tiada berhenti mengigit tubuhku. Tusukkan taringnya kurasakan di kepalaku, pundakku, punggungku, dadaku, dan disekujur tubuhku.
Saat itu saya berdo’a kepada Allah swt. dengan mengatakan, 

“Ya Allah sibukkanlah aku dengan (mengingat)-Mu, hingga melupakan selain-Mu. Sibukkanlah aku dengan (mengingat)-Mu, wahai Tuhanku. Wahai zat Yang Maha Esa, wahai zat Yang menjadi tempat bergantung. Bawalah aku dari alam kasar (dunia) ini. Sibukkanlah aku agar tidak mengingat seluruh hal selain-Mu. Sibukkanlah aku dengan (mengingat)-Mu, bawalah aku di hadirat-Mu. Berilah aku ketenangan yang sempurna dari-Mu. Liputilah aku dengan pakaian kecintaan-Mu. Berikanlah kepadaku rezeki mati syahid dijalan-Mu. Karunikanlah kepadaku kecintaan yang tulus kepada-Mu, keridhaan pada (ketentuan)-Mu dan Ya Allah, teguhkanlah diriku, sebagaimana keteguhan yang dimiliki oleh para ahli tauhid ya Allah!”
Doa tersebut kuucapkan, sementara binatang-binatang buas itu tidak berhenti menusukkan taringnya disekujur tubuhku. Detik demi detik, minit demi minit dan jam demi jam pun berlalu. Tiba-tiba pintu ruanganku terbuka, lalu aku dikeluarkan dari kamar. Aku membayangkan, bahawa pakaian putih yang kukenakan telah berlumuran darah. Itulah yang saya rasakan dan bayangkan bahwa anjing-anjing itu benar-benar telah mengigitku. Akan tetapi, betapa terkejutnya aku. Seolah-olah pakaianku tidak terkena sesuatu apapun, dan seolah-olah tiada satu pun taring yang menembus tubuhku. Mahasuci Engkau ya, Allah. Sesungguhnya Dia selalu bersamaku dan selalu mengawasiku. Ya Allah, apakah aku ini layak mendapatkan kurnia dan kemuliaan dari-Mu. Ya, Tuhanku bagimu segala puji. Semua itu kuucapkan di dalam hatiku. Para penjaga penjara hairan ketika mengetahui bahawa anjing-anjing tidak merobek-robek tubuhku.

Saya tidak mengetahui mengapa mereka amat hairan menyaksikan hal seperti itu. Bukankah Allah swt. telah berfirman,“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7)
Ini adalah peristiwa nyata yang terjadi semasa kekejaman pemerintahan. Peristiwa itu merupakan pertolongan yang diberikan Allah kepada Zainab Al-Ghazali, wanita muslimah tersebut. Mereka tidak berhenti melakukan penyiksaan kepada wanita muslimah ini. Hari demi hari berganti, bulan demi bulan teru berjalan dan tahun-tahun pun berganti. Namun, Zainab tetap terkurung didalam penjara dan menerima berbagai macam penyiksaan, tanpa kesalahan yang jelas.
Wahai saudaraku muslimah yang mulia, ini adalah realiti yang dialami oleh sebahagian saudarimu seaqidah yang tersebar di berbagai belahan bumi. Meski demikian, Zainab Al-Ghazali tetap bersabar dan mengharap pahala dari Allah, Dzat Yang Maha tinggi dan Maha kuasa. Ia selalu tegar kerana sangat yakin bahawa pertolongan Allah swt. pasti datang. Demikianlah, kekuatan iman itu dapat menimbulkan berbagai hal yang menakjubkan, sulit untuk dicerna oleh pemikiran manusia.